Parlimen Parit Buntar sah tiga penjuru

PARIT BUNTAR - Suasana hari penamaan calon bagi Parlimen dan Dun di sini berjalan lancar apabila kesemua borang pencalonan calon-calon bertanding diterima Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Hari bersejarah ini menyaksikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berdepan persaingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Parit Buntar pada PRU14, 9 Mei ini.

Abdul Puhat bakal berhadapan tentangan sengit calon Harapan dari Amanah,  Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang merupakan penyandang kerusi berkenaan dan Ahmad Azhar Sharin dari Pas.

Turut menghantar borang penamaan sebagai calon adalah Shahrul Nizam Razali dari BN yang akan bertanding di Dun Kuala Kurau.

Bekas Penghulu Mukim Bagan Tiang itu bakal dicabar penyandang Dun itu, Abdul Yunus Jamhari dari Harapan dan calon Pas,  Abd Bahrin Md Desa.

Kerusi Dun Titi Serong menyaksikan penyandangnya dari Pas, Abu Bakar Hussain bakal ditandingi calon BN, Norsalewati Mat Norwani dan calon Harapan, Hasnul Zulkarnain Abd Muniam.

Semua senarai calon diumumkan Pegawai Pengurus, Mohd Sabli Bakri di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian tepat jam 12 tengah hari tadi.

Keadaan penyokong bagi setiap parti yang hadir turut terkawal biarpun terpaksa menunggu lama di tengah panas sementara menunggu borang pencalonan disemak.

P057 Parit Buntar

BN: Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan

PKR-Harapan: Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa

Pas: Ahmad Azhar Sharin

Jumlah pengundi:

P057 Parit Buntar 51,860

N08 Titi serong: 26,726

N09 Kuala Kurau: 25,134

Abdul Puhat Mat NayanMujahid Yusof RawaAhmad Azhar SharinParit Buntar
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :