Rundingan kerusi PH-GRS di peringkat akhir, PH-BN selesai sepenuhnya

PUTRAJAYA - Rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini berada di peringkat akhir.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain itu, rundingan antara PH dan Barisan Nasional (BN) pula telah selesai sepenuhnya.

"Saya boleh sahkan pembahagian kerusi PH dan BN telah selesai. PH dan GRS kini di peringkat hujung dan sebagai Ketua Setiausaha PH yang diberi tanggungjawab itu, saya akan memuktamadkan dalam masa terdekat.

"Minggu lepas saya berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan rundingan. Biasalah, rundingan tidak berakhir dengan hanya satu pusingan. Bila selesai nanti saya akan maklumkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini pada Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.

Mengulas kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRN itu, Saifuddin Nasution menyifatkannya sebagai andaian awal yang belum wajar dibuat.

"Premature untuk saya andaikan perkara itu. Kalau dalam sidang media hari ini saya sebut akan ada tiga penjuru, tak cantiklah,” katanya. - Bernama