Reformasi pendanaan politik penting, elak politik duit

SHAH ALAM – Reformasi terhadap sistem pendanaan politik perlu dilaksanakan bagi memastikan politik negara ditadbir secara lebih telus, adil dan tidak hanya dikuasai oleh pihak berkemampuan dari segi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, evolusi politik dan dana ketika ini menunjukkan keperluan segera mewujudkan sistem yang lebih seimbang supaya semua calon mempunyai peluang yang adil dalam pertandingan politik.

Katanya, pemain utama dalam politik sama ada ahli parti atau calon bebas perlu mempunyai sikap adaptif dan memahami bahawa kuasa serta dana tidak seharusnya menjadi ukuran utama untuk bertanding.

“Apabila seseorang mempunyai dana yang besar, peluang untuk menang juga tinggi. Maka projek-projek pun mudah dapat. Akhirnya rakyat marhaen seolah-olah mudah dibuli dan dibeli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung program Suara Dari Anjung Dewan Masyarakat: Reformasi Pendanaan Politik yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut tampil sebagai panelis ialah Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, manakala Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain bertindak sebagai moderator program.

Nurhayati berkata, situasi itu menunjukkan wujud ketidakseimbangan atau 'level playing field' dalam sistem politik apabila hanya calon yang mempunyai sumber kewangan besar dilihat berpengaruh dan berpeluang menang.

Justeru, katanya, reformasi pendanaan politik perlu dilaksanakan bagi mengelak amalan yang boleh dimanipulasi, termasuk kutipan sumbangan atau tabung yang dijadikan norma tanpa kawal selia yang jelas.

Nurhayati menegaskan, antara kelemahan yang ada kini ialah ketiadaan kewajipan kepada parti politik untuk mengisytiharkan sumber dana dan perbelanjaan mereka seperti mana dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta Pertubuhan sedia ada.

“Selagi tiada sistem perundangan yang jelas mengawal aliran kewangan politik, manipulasi boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, reformasi itu bukan sekadar memperkenalkan undang-undang baharu, tetapi perlu bermula daripada perubahan dalam diri ahli politik sendiri kerana undang-undang semata-mata tidak mampu membentuk integriti.

Beliau turut menekankan bahawa politik seharusnya mempunyai ‘semangat kesukanan’ di mana pertandingan berlaku secara adil dan sihat, bukan berdasarkan siapa yang mempunyai lebih banyak dana atau pengaruh, sekali gus menjamin demokrasi yang bersih dan beretika.