SHAH ALAM - Kerajaan negeri Sabah diminta tampil berterus-terang tentang pemberian khas RM200 juta hingga RM600 juta oleh kerajaan Persekutuan sebagai satu jumlah baharu yang dipersetujui kerajaan negeri atau sebaliknya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kajian semula itu mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan dan keperluan menampung pembangunan di negeri berkenaan dilihat amat membimbangkan.
Tegas Ahli Parlimen Beluran itu, hak Sabah di bawah Perkara 112D tidak boleh dihakis dan disalahtafsirkan dengan obligasi kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 109, Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara ini amat membimbangkan kerana adakah ia bermakna hak Sabah di bawah perkara 112D ini telah dikompromikan? Adakah perkara ini juga direstui kerajaan negeri Sabah?
"Adakah pemberian khas RM200 juta hingga RM600 juta kerajaan Persekutuan kini satu jumlah baharu yang dipersetujui kerajaan negeri yang secara jelas menghakis hak 40 peratus Sabah menurut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan?
"Apabila Perdana Menteri sendiri menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebagai mengelirukan, ini amat membimbangkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau membangkitkan persoalan berikut di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan kenyataan Perdana Menteri mengenai pemberian khas 40 peratus yang dikaji semula dan dimuktamadkan.
Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa keputusan kerajaan Persekutuan menaikkan pulangan hasil kepada Sabah bukan dibuat atas dasar politik, sebaliknya berpandukan keperluan sebenar rakyat dan negeri berkenaan yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Menurut Anwar, sejak beberapa tahun lalu, kerajaan telah menambah peruntukan khas kepada Sabah secara berperingkat daripada sekitar RM126 juta sebelum ini kepada RM300 juta pada 2023 dan akan dinaikkan lagi kepada RM600 juta mulai 2025.
Menteri Kewangan itu menjelaskan, peningkatan tersebut mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan Pusat serta keperluan untuk menyiapkan beberapa projek pembangunan penting di Sabah yang masih tertangguh, terutama bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerajaan memberi layanan berbeza kepada negeri tertentu atas sebab politik, sebaliknya menegaskan semua keputusan dibuat mengikut data dan keperluan sebenar setiap wilayah.
Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat minggu lalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan yang disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan pemberian khas dibuat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sebagai tidak sah, ultra vires dan tidak rasional, serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.