PARIT BUNTAR - Harapan Parlimen Parit Buntar mengesan usaha pihak tertentu cuba 'memerap' kad pengenalan diri(Mykad) hampir 200 pengundi Cina dengan menawarkan wang tunai sebagai balasan di kawasan Tanjung Piandang, hari ini.
Calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, lebih mengejutkan, tindakan itu didalangi oleh sekumpulan individu yang bertindak menawarkan wang tunai RM100 kepada kesemua mangsa terlibat dan berjanji akan memulangkannya semula selepas tamat tempoh pengundian PRU14, 9 Mei ini.
Menurutnya, seramai lapan individu yang mendakwa dirinya mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Piandang, di sini pada jam 3 petang bagi mendedahkan perkara itu.
"Sejak semalam, saya terima aduan ada pihak tertentu bertindak mengambil IC (Mykad) dan memberi duit RM100 kepada beberapa individu kaum Cina.
"Jadi tanpa mengetahui siapa dalangnya, saya meminta rakan-rakan khususnya di Tanjung Piandang menyiasat perkara itu dan pagi ini kami terima panggilan dari beberapa mangsa yang mengakui beri Mykad kepada pihak tertentu.
"Mangsa terbabit turut mengakui menerima wang RM100 daripada kumpulan berkenaan dan Mykad mereka akan dijanjikan pulang selepas tamat tempoh pengundian jam 5 petang, 9 Mei nanti," katanya pada sidang media di sebuah restoran di Parit Buntar, hari ini.
Mujahid berkata, pihaknya turut difahamkan hampir 200 penduduk sekitar Mukim Tanjung Piandang dan Mukim Bagan Tiang yang menjadi mangsa sejak tiga hari lalu.
"Berikutan itu, kami cuba menyakinkan mangsa-mangsa agar membuat laporan polis dan akhirnya lapan daripadanya memberanikan diri membuat laporan polis petang tadi.
"Saya sebagai calon menganggap tindakan ini sebagai satu taktik kotor untuk menghalang mangsa-mangsa terbabit keluar mengundi pada 9 Mei apabila Mykad mereka 'diperapkan' setelah diberi wang tunai sebagai habuan," katanya.
Mujahid berkata, kesemua mangsa terbabit dikenal pasti terdiri warga emas dan apabila mereka sedar perbuatan itu mungkin satu bentuk penipuan pilihan raya, mereka menyesal.
Menurutnya, kumpulan individu bertanggungjawab itu difahamkan turut menyerahkan semula Mykad diambil kepada kesemua mangsa dengan segera setelah menyedari aktiviti mereka dihidu pihaknya.
"Tindakan ini merupakan satu penipuan untuk menghalang pengundi keluar mengundi, ini satu kesalahan pilihanraya besar dan saya berharap tindakan segera diambil pihak bertanggungjawab terutama Suruhanjaya Pilihanraya(SPR).
"Saya juga mohon polis jejaki siapa kumpulan individu yang menghalang mangsa daripada mengundi memandangkan keempat-empatnya orang terbabit difahamkan orang tempatan," katanya.
Mujahid turut merayu kesemua pengundi Parlimen Parit Buntar agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan Mykad kepada mana-mana pihak tidak dikenali kerana tindakan 'memerap' Mykad orang lain adalah merupakan satu bentuk kesalahan jenayah.
"Berikutan itu, kita akan mengemukakan aduan rasmi kepada SPR melalui wakil calon saya dan berharap tindakan segera diambil agensi itu memandangkan ianya satu kesalahan serius PRU.
"Saya anggap ini satu usaha untuk mengurangkan undi orang Cina dan pendedahan media dibuat bukan semata-mata untuk diri saya, namun untuk kepentingan calon-calon dari parti lawan agar kesemua pengundi menerima peluang adil bagi membuat pilihan pada 9 Mei nanti," katanya.