KOTA BHARU - Ketua Penerangan BN, Tan Sri Annuar Musa yang juga calon Parlimen Ketereh menjangkakan 80 peratus pengundi parti itu akan keluar menjalankan tanggungjawab mereka di Ketereh menjelang 12 tengah hari ini.
Beliau ditemui selepas membuang undi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Padang Mokan jam 10.15 pagi ditemani isterinya, Puan Sri Rosniah Ab Rahman.
Menurutnya, seramai 1,500 jentera melalui pasukan khas Get Out The Votes ditempatkan di Ketereh untuk membantu pengundi keluar mengundi kali ini.
“Kita harap mereka keluar mengundi awal bagi mengelak daripada berdepan perubahan cuaca yang mungkin hujan di sebelah petang.
“Alhamdulillah dengan adanya sistem yang baik, semua gerak kerja berjalan lancar berbanding PRU sebelum ini. Ini membantu memudahkan kita untuk melihat pergerakan ini dengan lebih efisien.
“Saya akan mendapatkan maklumat terkini melalui bilik operasi dari semasa ke semasa selepas singgah di beberapa pusat daerah mengundi di sini. Melalui ‘war room’ tersebut, saya boleh melihat semua perkembangan 29 pusat mengundi yang terlibat,” katanya.