Tiada parti dominan, UMNO terbuka bentuk kerajaan bersama - Ahmad Zahid

PUTATAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana gabungan atau parti politik bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, analisis telah menunjukkan bahawa tiada satu pun parti atau gabungan yang benar-benar dominan untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

"Realitinya dalam analisis yang dilakukan, tidak ada satu-satu parti politik atau gabungan yang dominan. Itu hakikatnya.

"Insya-ALLAH, UMNO sanggup bekerjasama dengan mana-mana gabungan dan parti untuk membentuk kerajaan supaya sama-sama kita berkongsi kuasa. Dan insya-ALLAH di bawah BN, kita berjanji untuk satu perkara pertama, kita akan laksanakan semua aku janji yang tercatat dalam manifesto yang akan kita laksanakan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian dalam ucapannya pada Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani 2025 di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa konsep 'Sabah for Sabahan' tidak seharusnya dijadikan retorik politik menjelang pilihan raya, sebaliknya rakyat Sabah perlu melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada Malaysia yang bersatu di bawah satu negara.

"Siapa kata 'Sabah for Sabahan'? Tidak. Ini negara Malaysia. Bukan ada orang Sabah, bukan orang Selangor, bukan orang Perak, bukan orang Semenanjung.

"Kita tetap rakyat Malaysia yang taat setia kepada negara kita, tidak kira negeri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung," tegasnya.

Menurut beliau, menjelang pilihan raya sering timbul sentimen yang memisahkan rakyat mengikut negeri, namun hakikatnya perjuangan UMNO dan BN di Sabah sejak awal adalah untuk membantu dan membangunkan negeri ini.

“Bila dekat pilihan raya, ada yang mula cakap 'Sabah for Sabahan', ini parti Malaya. Itu sebabnya saya ingin jelaskan, atas perbincangan saya dengan Datuk Abdul Rahman Dahlan, kenapa UMNO Sabah dan BN Sabah diberikan kuasa autonomi.

“Kerana kita anggap UMNO Sabah dan BN Sabah bukan parti Malaya, tetapi parti rakyat Sabah sendiri. Orang Sabah lah yang meminta UMNO datang ke Sabah untuk membantu rakyat negeri ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, UMNO dan BN telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri ini, dan dengan mandat baharu, parti itu yakin mampu melakukan lebih baik demi rakyat Sabah.

"UMNO dan BN-lah yang memberikan pembangunan di Sabah. Sekarang, bila dekat pilihan raya, muncul slogan baharu. Tapi saya mohon, beri peluang kali ini kepada BN. Kita tahu bagaimana untuk melakukan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya," ujarnya.