KOTA BAHRU - Matang, intelektual dan mempunyai pemikiran jauh ke depan.
Itu gambaran yang boleh diberikan kepada calon BN Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi, 32, seorang anak muda yang membuat kejutan bertanding di Parlimen Kota Bharu.
Memiliki watak ceria dan suka berdamping dengan pelbagai peringkat umur, Fikhran dilihat membawa angin perubahan baharu khususnya penduduk Kota Bharu.
Sesuai dengan perkembangan semasa, Fikhran mampu membawa elemen baharu termasuk membawa idea segar kepada penduduk pusat bandar ini.
Walaupun ada yang mengaitkan pergerakan politik beliau dipengaruhi bapanya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, anak muda ini sebenarnya mempunyai perwatakan sendiri khususnya gerak kerja sepanjang kempen beliau.
Beliau ketika ditemui dalam satu majlis bersama rakyat Kota Bharu tidak gentar untuk bersaing dengan pimpinan yang lebih senior di Kota Bharu dan menyifatkan ia satu cabaran dalam berdepan dengan saingan tiga penjuru itu.
“Sistem demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding, isu umur tidak menjadi satu perkara yang besar, rakyat boleh melihat gerak kerja orang muda dan tempoh yang singkat kita rakyat sudah boleh membuat penilaian terhadap hasil kerja kita,” katanya.
Selain beliau, kerusi Kota Bharu akan mempertaruhkan Datuk Takiyuddin Hassan dan Husam Musa mewakili Pakatan Harapan.
Fikhran berkata, melalui pendekatan BN Kota Bharu kini, rakyat boleh mendapat manfaat apabila setiap permasalahan boleh disalurkan melalui variasi kepimpinan BN Kota Bharu.
“Sekiranya ada masalah berbangkit boleh juga jumpa Tan Sri dan dalam masa yang sama saya juga boleh membantu, mungkin bagi golongan muda mereka lebih selesa untuk berkecek kiro (berbincang) dengan saya, apalagi sebahagian besar pengundi Kota Bharu adalah golongan muda, jadi ini peluang terbaik,” katanya.
Fikhran berkata, perjuangan membela nasib rakyat Kota Bharu akan diteruskan dan antara tumpuan beliau adalah menjadikan masyarakat Kota Bharu hidup dalam keadaan selesa.
Selain Fikhran, seorang lagi calon muda BN di kerusi Parlimen adalah Ketua Pemuda Umno Pasir Mas, Nor Azmawi Ab Rahman bagi kerusi Parlimen Pasir Mas.