JOHOR BAHRU – Pas Johor mula mengatur langkah awal ke arah memperkukuh penyatuan ummah dan memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, langkah itu sekali gus memberi isyarat bahawa tumpuan kini bukan sekadar politik dalaman, tetapi juga pembinaan kekuatan peringkat akar umbi.
"Penyatuan ummah yang melibatkan perpaduan Islam dan Melayu akan terus menjadi nadi kekuatan negara dan negeri.
“Penyatuan ummah bukan slogan sementara, tetapi asas kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya selepas Mesyuarat Penuh Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Johor bagi sesi 2025–2027 di Bandar Baru Uda di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Mahfodz berkata, Pas Johor turut menegaskan pendirian untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sambil membuka ruang kerjasama rentas parti, termasuk yang pernah berlaku dalam Muafakat Nasional.
Di samping itu katanya, Pas juga menyeru pembentukan konsensus nasional yang lebih luas, merentasi kaum dan parti bagi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran negara.
"Selain memberi sokongan penuh kepada calon PN dalam PRN Sabah akan datang, Pas Johor kini menumpukan sepenuhnya kepada gerak kerja PRU16 dengan penekanan terhadap aspek disiplin, strategi dan penyelarasan jentera di semua peringkat.
"Pendekatan itu dilihat sebagai strategi awal PAS Johor untuk memastikan kemenangan Islam dapat direalisasikan “dengan penuh hikmah dan kebersamaan”," ujarnya.
Dalam masa sama, ujarnya Pas Johor menyokong penuh pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menentang kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia selain terus komited terhadap perjuangan membela Palestin sebagai isu aqidah dan maruah umat Islam.