KOTA BHARU - Pembangkang dilihat semakin terdesak dengan menggunakan taktik kotor sebagai jalan singkat untuk meraih undi penyokong, kata calon Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, pelbagai cara dan isu dipilih untuk menarik minat pengundi terutamanya apabila ia berkait rapat dengan calon itu sendiri.
“Tadi ada satu risalah yang guna gambar saya, dan diletakkan sebelah itu isu pelaburan harta mewah di Australia dan biasiswa (Majlis Amanah Rakyat) Mara dibatalkan. Itu sudah tentu berbau fitnah.
“Pelaburan aset Mara di luar negara berlaku sebelum saya menjadi Pengerusi Mara, kenapa nak kaitkan saya dengan benda ini? Bagi orang yang cerdik pandai , mereka tidak akan percaya, pembangkang cuba nak kritik kerajaan,” katanya.
Menurutnya, pembangkang kini semakin tidak berintegriti dan semakin ghairah menaburkan politik kebencian kepada rakyat, bagaimanapun pihaknya yakin sikap tersebut akan ditolak rakyat.
Ketua Penerangan Umno itu berkata, BN di setiap bahagian juga telah menubuhkan satu pasukan pemantau yang bertugas 24 jam di semua kawasan parlimen yang bertanding.
“Pasukan tersebut disertai oleh peguam yang akan mengutip setiap dokumen dan ucapan yang menyalahi peraturan, yang melanggar syarat-syarat telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Buat masa ini kita perlu fokus dengan kempen dan sebagainya. Bukan bermakna kita lepas tangan. Beberapa poster dan ucapan tetap akan diambil tindakan sebaik sahaja selesai PRU nanti,” katanya.