'Tuduhlah saya gagal, biarlah fakta yang bercakap', Armizan jawab Warisan

KOTA KINABALU – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menolak dakwaan Parti Warisan yang seolah-olah menggambarkan hanya parti itu memperjuangkan kepentingan Sabah termasuk dalam isu pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, tuduhan kononnya kerajaan hari ini gagal mempertahankan hak Sabah dalam pindaan berkenaan adalah tidak berasas malah merupakan cubaan Warisan mencipta persepsi bahawa mereka satu-satunya 'penyelamat Sabah'.

Menurut beliau, pindaan terhadap Akta LHDN pada 2023 adalah hasil kerjasama kerajaan Persekutuan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjaya menginstitusikan pelantikan wakil tetap dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN.

“Kalau dengar cara mereka olah, memang boleh mengelirukan orang yang tidak tahu maklumat sebenar.

“Tapi fakta menunjukkan pindaan ini bukti kejayaan GRS, komitmen Kerajaan Madani dan kemenangan rakyat Sabah,” katanya menerusi satu hantaran video di laman Facebook beliau pada Jumaat.

Armizan menjelaskan bahawa Akta LHDN 1995 yang asal tidak pernah mewajibkan pelantikan wakil dari Sabah dan Sarawak, walaupun perkara itu pernah disebut dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

Katanya, langkah ke arah pelantikan wakil tetap dari kedua-dua negeri Borneo mula digerakkan selepas penubuhan GRS pada 2020, apabila Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak ketika itu, Datuk Seri Maximus Ongkili, membawa isu tersebut ke mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hasilnya, pada 1 September 2022, Sabah melantik Datuk Petrus Gimbad sebagai wakil negeri dalam LHDN atas syor Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menjadikan Sabah negeri pertama melaksanakan perkara ini selepas hampir enam dekad penubuhan Malaysia,” jelasnya.

Tambah Armizan lagi, apabila Kerajaan Perpaduan Madani mengambil alih pentadbiran pada hujung 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pindaan undang-undang dibuat untuk menginstitusikan pelantikan wakil tetap dari Sabah dan Sarawak.

“Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan kemudiannya dibentangkan dan diluluskan pada 2023.

“Ada yang mempertikai teks pindaan kerana tidak menyebut secara tersurat ‘wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak’, tetapi kita ganti dengan frasa ‘setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak’ supaya peranan kerajaan negeri tetap diiktiraf,” katanya.

Ahli Parlimen Papar itu turut menyifatkan pindaan tersebut sebagai kejayaan penting kerana buat pertama kali dalam sejarah, Sabah dan Sarawak diiktiraf secara rasmi dalam struktur perundangan percukaian negara.

“Jadi, tuduhlah saya gagal. Biarlah fakta yang bercakap. Apa yang penting, kejayaan ini bukan kemenangan peribadi tapi kemenangan untuk Sabah,” katanya.