SHAH ALAM – Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim melepaskan jawatan yang disandangnya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.
Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap sikap Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa tidak memberi perhatian kepada isu Palestin dan Gaza.
Mohamad Shafiq berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menyertai demonstrasi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia.
Jelasnya, tindakan itu selaras dengan seruan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat agar kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Israel dan sekutunya.
“Saya merasa amat terkilan dan sedih apabila Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Datuk Tun Faisal tidak hadir dan tidak memberi ucapan membela nasib rakyat Palestin dan Gaza.
"Ini bukannya kali pertama, malah sudah banyak himpunan pro-Palestin dan Gaza yang beliau tidak hadiri,” katanya menerusi satu video dikongsi kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau turut menyatakan kekesalan apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari hadir dan menyatakan pendirian parti itu terhadap isu berkenaan, sedangkan pimpinan penerangan Bersatu tidak menunjukkan komitmen sama.
“Oleh itu, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf dan terpaksa untuk melepaskan jawatan lantikan Tun Faisal terhadap saya sebagai Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan Parti Bersatu Selangor, berkuat kuasa hari ini (Jumaat),” ujarnya.
Menurutnya, jawatan itu kini dirasakan sebagai satu beban dan memalukan kerana ketuanya tidak fokus terhadap isu rakyat serta tidak sensitif terhadap permasalahan umat Islam di dunia.
“Jawatan ini hanya memberi beban dan malu pbesar kepada saya kerana ketua saya, Tun Faisal tidak fokus pada isu rakyat dan sensitif terhadap isu-isu yang menimpa umat Islam di dunia,” ujarnya lagi.