SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan, Papagomo menerusi akaun TikTok @akaun933 didapati memuat naik satu rakaman video yang mengandungi tuduhan palsu termasuk mendakwa kononnya Anwar ingin menyekat bantuan ke Palestin serta menghina beliau dengan gelaran tidak senonoh.
“Tindakan biadab ini melampaui batas moral serta undang-undang dan jelas berniat mencemar maruah Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan, kenyataan tersebut bukan sekadar fitnah jenayah tetapi turut mengandungi unsur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menanam kebencian terhadap kepimpinan negara.
“Lebih mendukacitakan apabila kenyataan berbaur fitnah ini dibuat pada ketika Perdana Menteri dan kerajaan sedang gigih memperjuangkan isu kemanusiaan global serta mempertahankan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
"Tuduhan kononnya Perdana Menteri menyekat bantuan ke Palestin adalah pembohongan besar dan berniat jahat,” ujarnya.
Sehubungan itu, AMK Selangor mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan undang-undang segera terhadap Papagomo mengikut peruntukan sedia ada.
“Tindakan beliau jelas melanggar beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 500, 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 211 serta 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menabur fitnah atau menghina pemimpin negara.
“Setiap rakyat harus menggunakan ruang demokrasi dengan bertanggungjawab, berasaskan fakta dan menghormati undang-undang serta nilai kesopanan awam.
"Budaya politik kotor berasaskan kebencian, penghinaan dan pembohongan mesti dihentikan segera,” tegasnya.
AMK Selangor katanya, akan terus mempertahankan maruah dan kewibawaan Perdana Menteri serta menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak untuk menormalisasi politik fitnah di negara ini.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk menolak politik kebencian dan bersama membina budaya politik berprinsip, berakhlak dan berpaksikan kebenaran,” tambahnya.