JOHOR BAHRU - Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menolak dakwaan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak layak menyandang jawatan Perdana Menteri.
Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan bekas ahli parti, Datuk Wan Saiful Wan Jan itu dianggap tidak berasas serta tidak menghormati jasa dan sumbangan besar Muhyiddin terhadap parti dan negara.
Menurutnya, Muhyiddin terbukti sebagai pemimpin berwibawa ketika menerajui negara dalam situasi getir termasuk krisis kesihatan dan ekonomi global, dengan menolak amalan rasuah serta mengutamakan kepentingan rakyat.
“Rekod bersih serta ketegasan beliau mempertahankan prinsip menjadikan Tan Sri Muhyiddin masih antara tokoh paling diyakini untuk menerajui negara sekiranya diberi mandat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut menegaskan, perbahasan mengenai kepimpinan parti sepatutnya dihentikan selepas keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin dan sebarang pandangan perlu disalurkan melalui saluran rasmi parti.
“Mengeluarkan kenyataan menyerang kepimpinan hanya melemahkan perpaduan dan memberi ruang kepada musuh politik.
"Ahli parti perlu menunjukkan disiplin dan kesetiaan, bukan membina populariti melalui serangan terbuka,” katanya.
ADUN Bukit Kepong itu menambah, bekas ahli seperti Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal tidak lagi mempunyai locus standi untuk menilai dasar atau kepimpinan parti setelah dipecat dan digantung.
Jelasnya, keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang menamakan Muhyiddin sebagai calon tunggal Perdana Menteri ke-11 dibuat berdasarkan merit, pengalaman dan dapatan kajian, bukan emosi atau kepentingan peribadi.
Katanya, Muhyiddin mempunyai rekod luas dalam pentadbiran negara termasuk menerajui 11 kementerian serta pernah menjadi Menteri Besar Johor.
“Jika dibandingkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau hanya pernah berada di lima kementerian dan tidak mempunyai pengalaman mentadbir negeri.
"Pengalaman Muhyiddin mengurus krisis besar ketika pandemik Covid-19 turut mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk WHO dan Bank Dunia," ujarnya.
Beliau seterusnya memetik dapatan Institut MASA (Julai 2025) yang menunjukkan tahap kepuasan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebanyak 41 peratus, berbanding 30 peratus bagi Anwar Ibrahim, 16 peratus Hamzah Zainudin dan 15 peratus Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam kategori calon Perdana Menteri pula, Muhyiddin mendahului dengan 33 peratus, diikuti Anwar (26 peratus), Ahmad Zahid (14 peratus) dan Hamzah (13 peratus).
Pada 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.