Biar mahkamah buat keputusan

SHAH ALAM - Pengumuman Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengisytiharkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri berkuat kuasa serta merta mulai Rabu memang sudah diramal.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan itu sudah dijangka kerana pelantikan Mohd Amar sebagai Speaker DUN Kelantan adalah lantikan politik berasaskan kedudukan beliau sebagai Naib Presiden Pas.

Tambah Hanif Khatri, isu berkenaan menjadi polemik disebabkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang ahli Parlimen bertukar parti mempunyai banyak kelemahan dan tidak lengkap, termasuklah isu pertikaian bidang kuasa Speaker Parlimen atau DUN dalam menentukan kekosongan sesebuah kerusi Parlimen atau DUN.

“Situasi ini amat rumit dan sekarang kita boleh lihat banyak perkara tidak betul kerana jawatan Speaker adalah lantikan politik. Apabila Speaker adalah lantikan politik maka keputusannya akan berat sebelah dan tercemar dengan kepentingan politik.

“Jadi saya tidak terkejut dengan keputusan Speaker DUN Kelantan mengatakan kerusi Nenggiri kini menjadi kosong susulan terhentinya keahlian Bersatu penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim,” katanya kepada Sinar Premium.

**media[2695292]**

Haniff Khatri berkata, beliau juga tidak terkejut jika Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San akan membuat keputusan berbeza dengan mengisytiharkan enam bekas ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Jelasnya, hal Ini kerana Johari dan Weng San adalah orang kuat Pakatan Harapan (PH) dan penyokong tegar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Justeru, Haniff Khatri menegaskan perkara itu hanya akan selesai apabila kes semakan kehakiman berkenaan dibawa Mohd Azizi ke mahkamah. Beliau juga menolak dakwaan kononnya keputusan Speaker DUN Kelantan itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Kalau keputusan dibuat semasa prosiding dalam DUN atau Parlimen memang tidak boleh dicabar di mahkamah. Tetapi jika keputusan berkaitan permohonan untuk mengosongkan kerusi mengikut Perkara 49A di Persekutuan dan Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan adalah keputusan kehakiman di kerusi Speaker dan di luar prosiding Dewan, ia boleh dicabar serta disemak di mahkamah,” katanya.

**media[2695291]**

November lalu, Bersatu gagal dalam permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Johari yang enggan mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Hakim Datuk Amarjeet Singh berkata, mahkamah terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan, bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mempersoal keputusan Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan empat kerusi berkenaan berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu pada Januari 2023, Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli Bersatu Sabah atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!