PUTATAN-Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, masih menilai hala tuju politiknya sama ada akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) atau kekal sebagai Ahli Parlimen Putatan.
Shahelmey berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa mana-mana ahli parti yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berdepan tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta.
"Saya mengambil maklum terhadap perkara itu dan masih dalam proses mempertimbangkan arah kedudukan politik. Ada masa lagi, tarikh hari penamaan calon lebih kurang tiga minggu daripada sekarang, jadi masih banyak masa untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Semarak Juara Penyerahan Insentif Atlet Sukan Sabah bagi Pasukan Putatan di pekarangan Pejabat Daerah Putatan, di sini pada Jumaat.
Diminta mengulas kemungkinan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan memberi laluan kepadanya untuk bertanding, Shahelmey sekali lagi menegaskan beliau belum membuat keputusan muktamad.
"Kita ada masa lagi. Seperti mana saya katakan, tiga minggu dalam politik ini adalah satu jangka masa yang agak lama. Macam-macam boleh terjadi.
"Apa yang penting ialah keputusan yang dibuat nanti adalah untuk kebaikan. Asas dalam pilihan raya ini adalah untuk mendapat mandat daripada rakyat," katanya.
Menurutnya, keputusan muktamad akan dibuat menjelang hari penamaan calon apabila tempoh kempen bermula.
"Bila tiba masanya nanti, selesai hari pencalonan, tempoh kempen selama dua minggu dan datang hari mengundi, waktu itulah kita serah kepada rakyat, pada pemilik untuk mereka menunaikan hak memberi mandat kepada pemimpin yang mereka mahu,” katanya.
Mengulas sama ada ahli Parlimen menandatangani perjanjian termasuk klausa denda RM100 juta sebelum bertanding, Shahelmey turut mengesahkan perkara itu.
Ketika ini, Shahelmey bersama Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) masing-masing merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Parlimen Kalabakan yang telah digantung keahlian dalam UMNO.
Situasi kedua-dua ahli politik itu menyebabkan mereka tidak mungkin akan dapat bertanding atas tiket BN. Malah UMNO Sabah sebelum ini turut menegaskan untuk tidak mencalonkan semula kedua-dua penyandang kerusi DUN tersebut memandangkan mereka kekal menyokong kerajaan GRS yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
Jika kedua-duanya mengambil keputusan untuk bertanding atas tiket parti lain, mereka terpaksa mengosongkan kerusi parlimen masing-masing seperti yang tertakluk dalam Akta Anti Lompat Parti.