Guna saluran betul, bukan buat sidang media - Bersatu Negeri Sembilan

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan mengecam tindakan beberapa pemimpin parti itu yang mengeluarkan kenyataan terbuka di media sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap parti terbabit.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, sekiranya ada rasa tidak puas hati, perlulah dikemukakan mengikut saluran yang betul.

"Kami berpandangan, sebarang rasa tidak puas hati atau pembelaan diri perlulah dikemukakan melalui saluran yang betul, iaitu di hadapan prosiding lembaga disiplin parti dan bukannya melalui sidang media.

"Ini kerana kenyataan terbuka hanya melemahkan imej parti,"katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Justeru itu, pihaknya menyeru semua ahli dan pimpinan agar kembali berpegang kepada disiplin parti, mengutamakan kesatuan dan menghormati institusi serta proses dalaman parti.

Tambahnya, parti itu tidak boleh dibiarkan menjadi medan pertembungan demi kepentingan peribadi.

"Sebagai Ketua Bersatu Negeri Sembilan, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kesetiaan kepada parti, kepimpinan dan perjuangan lebih utama daripada kepentingan individu.

"Demi kelangsungan parti, semua pihak perlu kembali kepada semangat asal penubuhan Bersatu iaitu berjuang untuk rakyat dan negara,"katanya.

Selain itu, pihaknya turut menggesa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan segera yang telus dan adil terhadap beberapa pemimpin parti itu yang didakwa melanggar perlembagaan parti.

Jelasnya, ia demi memastikan parti kekal kukuh dan berwibawa.

"Kelewatan dalam mengambil tindakan hanya akan menjejaskan integriti parti di mata ahli dan rakyat.

"Kami mengambil perhatian serius terhadap beberapa aduan pelanggaran disiplin yang membabitkan sejumlah pemimpin Bersatu dan tindakan tersebut didakwa melibatkan pelanggaran perlembagaan parti, keputusan parti serta prinsip disiplin yang wajib dipatuhi oleh setiap ahli dan pimpinan,"katanya.

Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi(MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan mengumpulkan akaun bersumpah (SD) untuk mendesak presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.

Namun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.