SHAH ALAM - Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengecam kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan bersama beberapa ketua bahagian parti itu yang didakwa sebagai usaha terdesak mengalih perhatian daripada kegagalan komplot menjatuhkan Presiden parti.
Dalam kenyataan bersama, kumpulan ADUN itu menyifatkan tindakan Wan Saiful dan rakan-rakannya sebagai 'musuh dalam selimut' dan tidak bertanggungjawab apabila kembali mengaitkan fitnah lama terhadap Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun kes itu telah selesai disiasat pihak berkuasa sejak 2020.
"Peguam Negara ketika itu mengesahkan tiada asas untuk pendakwaan setelah meneliti semua bukti dan keterangan.
"Namun, Wan Saiful memilih untuk memutar belit fakta setelah komplot gerakan SD (akuan bersumpah) mereka gagal mendapat sambutan," kata kenyataan itu pada Selasa.
Kenyataan bersama itu ditandatangani ADUN Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; ADUN Morib, Rosnizan Ahmad; ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad; ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin; ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Lima yang lain ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan; ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh; ADUN Bukit Melawati, Noorazley Bin Yahya; ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh dan ADUN Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani.
Kenyataan itu menambah, kumpulan ADUN terbabit mendakwa perhatian sepatutnya diberikan kepada kes Wan Saiful sendiri yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan 'menggelapkan' jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” tegas mereka.
Kenyataan itu turut menegaskan pendirian mereka untuk terus mendukung penuh kepimpinan Presiden dan Setiausaha Agung parti sambil menekankan kepentingan kesetiaan serta disiplin dalam perjuangan.
"Kami mendesak Lembaga Disiplin parti dipercepatkan untuk bersidang dan mengambil tindakan tegas serta keras terhadap mereka.
"Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, akuan SD yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti