GEORGE TOWN - Kepimpinan Pas perlu mengambil peluang dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan untuk menyampaikan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap kekejaman Zionis yang sedang berlaku di Gaza.
Timbalan Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), David Marshel berkata, sebagai parti politik yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak di negara ini, Pas memikul tanggungjawab besar untuk menjadi suara rakyat dalam isu kemanusiaan global.
Menurutnya, penghapusan etnik yang dilakukan rejim Zionis di Gaza jelas merupakan jenayah kemanusiaan yang melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Menjelang kehadiran Trump, kepimpinan Pas mesti menggunakan peluang bersejarah ini. Pas perlu bersemuka dengannya sempena lawatan ke sidang kemuncak ASEAN nanti.
"Demonstrasi bantahan rakyat Malaysia terhadap lawatan Trump adalah penting untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Namun, pertemuan empat mata secara langsung antara pimpinan Pas dan Presiden Amerika Syarikat ini akan memberikan kesan yang jauh lebih besar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
David berkata, kehadiran Trump di Malaysia adalah peluang yang amat jarang berlaku, dan ia mesti digunakan untuk menzahirkan keberanian serta ketegasan politik Malaysia.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membawa pendirian rasmi kerajaan Malaysia di Sidang Kemuncak tersebut.
Beliau berkata, sebagai blok pembangkang yang kuat, Pas juga perlu memainkan peranan penting dengan menunjukkan kematangan serta ketegasan politik untuk bersemuka dengan Trump dan menyampaikan mesej keras rakyat Malaysia: hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza!
"Pas wajar mendesak kerajaan mengatur pertemuan rasmi ini. Jika kerajaan dan pembangkang dapat bersuara senada dalam isu ini, maka mesej Malaysia akan bergema lebih kuat di pentas dunia bahawa kita menolak sebarang bentuk genosid, kezaliman, dan penindasan ke atas rakyat Palestin.
"Rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, menuntut agar Pas berani dan lantang membawa suara mereka.
"Jika pertemuan ini berjaya dilakukan, ia bukan sahaja mengangkat martabat Passebagai kuasa politik terbesar di negara ini, tetapi juga membuktikan bahawa Malaysia adalah suara moral yang berprinsip di peringkat antarabangsa," tambahnya.
Dalam pada itu, David berkata, pihaknya juga menyokong sebarang perhimpunan aman sebagai simbol penolakan rakyat Malaysia terhadap dasar Amerika yang berpihak kepada Zionis.
Namun begitu, katanya, pertemuan bersemuka secara tegas dengan Trump akan menjadi detik bersejarah yang membuktikan Malaysia tidak tunduk dalam isu kemanusiaan sejagat.