JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mendakwa kempen ‘Turun Anwar’ mula suram namun kini timbul desakan baharu dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri dengan kempen ‘Turun Muhyiddin’ dan ‘Turun Azmin’.
Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad berkata, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kerajaan MADANI bertungkus lumus memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas bantuan kebajikan serta menstabilkan politik negara, Bersatu pula sibuk mencipta episod baharu dalam siri perebutan kuasa dalaman.
“Jika sebelum ini rakyat disajikan dengan drama perbalahan antara pasukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, kini muncul pula pertelingkahan baharu melibatkan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Daripada tampil sebagai pembangkang yang berfungsi, pemimpin Bersatu memilih untuk saling menuduh dan menjatuhkan sesama sendiri. Inilah wajah sebenar politik sempit yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Faezuddin, pembangkang sepatutnya berperanan sebagai semak dan imbang dengan mengemukakan idea bernas serta alternatif dasar, namun Bersatu didakwa gagal menampilkan hala tuju jelas.
“Jelas sekali kempen ‘Turun Anwar’ yang mereka cuba bawa sebelum ini sudah tidak berjaya dan semakin suram. Sebaliknya, yang mendapat sambutan sekarang dalam kalangan akar umbi Bersatu sendiri ialah kempen ‘Turun Muhyiddin’ dan ‘Turun Azmin’,” ujarnya.