SHAH ALAM - Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bersidang dalam masa terdekat bagi meneliti semua laporan serta aduan membabitkan beberapa ahli parti itu.
Menurut kenyataan media pada Selasa, pihaknya memandang serius segala perkembangan dan kenyataan mutakhir berkaitan ahli berkenaan.
“Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga disiplin, integriti dan tatatertib organisasi, kami menegaskan bahawa setiap pelanggaran disiplin serta peraturan parti akan ditangani tanpa kompromi.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin akan segera bersidang dalam masa terdekat dan semua ahli yang dirujuk akan dipanggil menghadiri prosiding secara rasmi bagi memberikan penjelasan serta membela diri mereka mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan, proses berkenaan akan dijalankan secara telus, adil dan berlandaskan Perlembagaan Parti.
“Bagaimanapun, mana-mana ahli yang didapati bersalah melanggar disiplin dan merosakkan imej parti akan berdepan tindakan tegas termasuk pemecatan serta-merta.
“Lembaga Disiplin menyeru agar semua ahli kekal fokus kepada perjuangan sebenar, menghentikan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh melemahkan parti serta terus mendukung kepimpinan tertinggi,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan empat ketua bahagian Bersatu termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin untuk tindakan tatatertib berhubung dakwaan berkenaan.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Mereka didakwa terbabit dalam pengumpulan akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.