'Bertanding pilihan raya perlu jutaan ringgit' - Sanusi sindir Puad jangan berlagak suci

SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi diingatkan supaya tidak berlagak suci kerana realitinya bertanding dalam pilihan raya memerlukan kos jutaan ringgit.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Mohd Puad tidak perlu menafikan hakikat bahawa proses politik dalam Barisan Nasional (BN) turut melibatkan perbelanjaan besar.

"Tidak payah berlagak sucilah Puad. Hang (awak) sendiri habis berapa juta masa pilihanraya dulu? Hendak dipilih jadi calon dalam BN pun kena berabih duit, masuk pilihan raya kena habih berjuta.

"Cuma mungkin bukan duit poket hang sendiri, mana dapat duit itu hang sendiri pun tau. Itu pun tidak tentu boleh menang," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Muhammad Sanusi membuat sindirian itu susulan kenyataan Mohd Puad yang mempersoalkan dakwaan Pas bahawa parti itu hanya bergantung kepada kutipan dana 'tin milo' bagi membiayai kos kempen pilihan raya.

Terdahulu, Mohd Puad membangkitkan isu tersebut susulan kenyataan Muhammad Sanusi sebelum ini yang menafikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pernah menyalurkan dana politik kepada Pas, sebaliknya Menteri Besar Kedah itu menegaskan Pas mengumpul dana melalui sumbangan kecil daripada rakyat.

Muhammad Sanusi menambah, perkara sama turut berlaku ketika perebutan jawatan dalam parti termasuk di peringkat bahagian, perwakilan dan Majlis Tertinggi (MT).

"Bukan saja masa pilihan raya umum, masa bertanding dalam parti berebut jawatan dalam bahagian, berebut nak jadi perwakilan dan hendak jadi MT pun hangpa (kamu) kena berabis duit," ujarnya.

Beliau berpandangan, bagaimanapun perkara tersebut belum tentu menjamin kemenangan dan hakikat itu diketahui umum.