SHAH ALAM - Dua Ahli Parlimen Pas menafikan dakwaan kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menanggung sepenuhnya perbelanjaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau terpaksa menggunakan sumber kewangan sendiri, termasuk hasil jualan tanah miliknya, bagi menampung kos bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu 2023.
“Kedua-dua pilihan raya itu, saya dan jentera PN di Kuala Terengganu kena korek tabung sendiri termasuk jual tanah saya.
“Terkejut juga bila timbul kata ada yang beri peruntukan ni. Beri pada siapa?
“Saya tanya kawan-kawan di Parlimen, yang lain ada dapat ke (peruntukan)? Mereka cakap tiada terima apa pun,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad pada Rabu mendedahkan, keseluruhan kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditanggung sepenuhnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau turut menjelaskan bahawa semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan Bersatu, sekali gus membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen sekali gus menjadi pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah politiknya.
Ujar Ahmad Amzad, semua calon PN di Terengganu perlu mengumpulkan dana sendiri melalui tabung sumbangan yang diperoleh daripada ahli dan penyokong parti bagi membiayai kempen pilihan raya.
“Kalau betul ada (peruntukan), rasa ralat lah juga. Terima kasih Muhammad Sanusi kerana sentuh sikit sahaja (berhubung isu tersebut).
“Yang rakan kita beritahu ada bantuan itu, kita hargai juga. Cuma tidak sampai dekat kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan, beliau membiayai sendiri peruntukan ketika bertanding di kerusi Parlimen Jerantut pada PRU berkenaan.
“Tidak betul (dakwaan Bersatu tanggung penuh perbelanjaan PRU). Contohnya di Jerantut. Tempat saya bertanding (menggunakan peruntukan sendiri),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Kata Ahli Parlimen Jerantut itu, apabila parti berada dalam sesuatu gabungan, menjadi kebiasaan terdapat peruntukan yang memerlukan penglibatan komitmen bersama, bukan sebelah pihak sahaja.
“Dah nama gabungan, ada kos bersama,” menurut beliau.