ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad memperincikan pihak mana yang sebenarnya menerima dana yang didakwa disalurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN) berkata, Marzuki juga perlu perjelaskan ke mana wang itu disalurkan dan siapa penerima yang menguruskan perbelanjaan tersebut.
Menurutnya, di Kedah khususnya, parti itu membiayai sendiri segala kos kempen menggunakan kutipan derma unit peti undi serta sumbangan ahli.
“Tanya dia, duit itu bagi dekat siapa? Saya pun nak tahu juga.
“Di Kedah, semua perbelanjaan kami tanggung sendiri. Malah peralatan dan perkakas calon Bersatu pun Pas Kedah dahulukan bayarannya, cuma seorang calon sahaja yang bayar balik,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sanusi turut menempelak segelintir pihak yang menganggap kos yang didedahkan beliau itu terlalu tinggi atau merupakan suatu pembaziran.
“Cuba tanya kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) berapa kos mereka. Kalau BN perlu habiskan RM5 juta untuk satu parlimen, itu pun tak menang,” katanya.
Pada Rabu, Marzuki dalam kenyataannya mendakwa semua kos pilihan raya PN ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu, termasuk sumbangan kewangan kepada Pas.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan oleh Bersatu, sekali gus ia membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen dan merupakan pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah politiknya.
Sanusi bagaimanapun membidas kenyataan itu dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang melucukan.
“Kenyataan itu sangat lawak, tanya dia bagi pada siapa duit itu?” katanya lagi.
Sebelum itu, pada Selasa ketika penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-71, Sanusi mendakwa parti itu terpaksa membiayai sendiri peralatan pilihan raya, malah mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) untuk parti rakan dalam PN.
"Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada, jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua," katanya.
Namun Marzuki mengakui senada dengan pandangan Sanusi bahawa kos pilihan raya memerlukan dana besar dan menyifatkan RM1 juta bagi satu kerusi Parlimen adalah jumlah minimum untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.