Titah Sultan Selangor perlihat keprihatinan keresahan rakyat - Hamzah

SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj jelas memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keresahan serta suara hati rakyat dalam isu yang melingkari pembangunan Kampung Bharu, khususnya dalam konteks kelangsungan dan maruah orang Melayu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, titah baginda agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Bharu, Kuala Lumpur dikendalikan dengan teliti serta berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kepentingan orang Melayu adalah selari dengan pendirian ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

"Kami telah suarakan secara tegas bahawa sebarang pembangunan di Kampung Bharu harus mengambil kira kepentingan serta mengekalkan demografi asal penduduk di sana.

“Saya menjunjung kasih ke atas titah Sultan Sharafuddin yang menegaskan bahawa sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Bharu mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sultan Selangor bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.