UMNO Batu putus hubungan politik dengan PH, Gulam Muszaffar bidas Menteri WP

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan susulan isu pelantikan dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menegaskan, tindakan tersebut dibuat bagi mempertahankan hak seperti yang termaktub dalam pekeliling rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, pekeliling berkenaan jelas menyatakan bahawa kuota satu subzon MPP Parlimen Batu perlu diberikan kepada ketua parti kerajaan, iaitu Barisan Nasional (BN)/UMNO.

“YB Menteri Wilayah Persekutuan yang keluarkan pekeliling tetapi beliau sendiri yang melanggarnya. Kami merujuk kepada kriteria enam dan tujuh sebagai asas mengapa UMNO Batu mengambil tindakan ini.

"Setidak-tidaknya, tindakan kami adalah untuk menunjukkan nilai dan harga diri bahawa UMNO Batu tidak boleh dibeli,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis.

Beliau turut mengkritik Dr Zaliha berhubung isu pengagihan jawatan dalam MPP Wilayah Persekutuan dengan mendakwa bahawa pelantikan yang dibuat bercanggah dengan garis panduan asal.

Gulam Muszaffar turut mendedahkan antara kriteria pelantikan ialah komposisi subzon MPP yang sepatutnya terdiri daripada lima wakil parti yang menang dan satu wakil daripada parti kerajaan perpaduan.

Sehubungan itu, beliau mempertahankan tindakannya meletakkan jawatan dalam Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), yang diterajui Dr Zaliha, sebagai tanda protes.

“Setidak-tidaknya tindakan kami ini menunjukkan nilai dan harga diri bahawa UMNO Batu tidak boleh dibuli,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa bahawa Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran daripada PKR, tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kepada UMNO untuk melaksanakan kerja-kerja di kawasan Parlimen Batu.