UMNO Batu dakwa dilayan seperti ‘anak pungut’

SHAH ALAM - Keputusan Biro Politik UMNO Bahagian Batu memutuskan hubungan dengan rakan politik dalam komponen Pakatan Harapan (PH) di Batu dan Wilayah Persekutuan dibuat kerana merasakan parti itu dilayan seperti anak pungut di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar, mendakwa layanan yang diberikan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan bersifat berat sebelah serta tidak disantuni sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, kuota UMNO bagi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang pada awalnya diperuntukkan kepada parti itu telah diberikan kepada PH.

“Bukan itu sahaja, malah setiap kali program yang dianjurkan UMNO tidak pernah mendapat peruntukan daripada Ahli Parlimen.

“Kalau nak berkawan, buat secara kawan. Ini tidak, satu kuota yang menjadi hak kami pun cuba diganggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan bersama kedua-dua pihak.

Jelasnya, ketika tiba tempoh pembaharuan lantikan Ahli Majlis MPP, UMNO Bahagian Batu telah bertemu dengan Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu pengagihan kuota.

“Hasil perbincangan, kami mencapai kata sepakat untuk meneliti kepimpinan serta penglibatan UMNO di setiap bahagian Wilayah Persekutuan.

“Akhirnya, satu kuota MPP akan diberikan kepada UMNO atau BN bagi setiap parlimen. Perkara ini turut dikeluarkan dalam surat pekeliling rasmi dan kami diminta menghantar nama wakil.

“Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila Menteri Wilayah memberikan keenam-enam kuota berkenaan kepada PH,” dakwanya.

Tambah Gulam, kuota yang diperuntukkan kepada BN sepatutnya tidak diganggu, apatah lagi atas nama rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kalau mereka nak agih lima kuota kepada sesiapa dalam PKR, itu hak mereka, tapi kenapa perlu ganggu kuota BN? Itu jelas tidak adil.

“Kalau benar-benar berkawan, perlu secara ikhlas. Apabila saya bawa perkara ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO dan Biro Politik Bahagian, majoriti tidak bersetuju dengan cara kita dilayan,” ujarnya.

Berhubung peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, Gulam menjelaskan ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Saya buat keputusan ini tanpa pengaruh sesiapa. Cuma nak beritahu, ketidakadilan juga turut berlaku di Wangsa Maju, Setiawangsa, Seputeh dan Segambut,” katanya.