Marzuki dedah Bersatu tanggung penuh kos PRU15 Perikatan Nasional

SHAH ALAM – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah ditanggung sepenuhnya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum bagi satu kawasan Parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.

Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.

“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah, Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas.

“Hasilnya, Pas menang 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Pas sepanjang 70 tahun berada di persada politik Malaysia.

“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada Pas yang saya percaya Datuk Seri Sanusi (Mohd Noor) sendiri tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Selasa, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mendedahkan bahawa kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.

Marzuki yang bersetuju dengan anggaran kos yang didedahkan Sanusi, mengakui bahawa semua parti tanpa mengira ideologi berdepan realiti kos besar dalam setiap pilihan raya, khususnya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan kos logistik jauh lebih tinggi.

Jelas beliau, antara komponen utama kos pilihan raya termasuk percetakan bahan kempen, latihan jentera serta pembayaran elaun kepada ejen di pusat pengundian.

“Nak cetak bendera mesti ada duit. Poster calon mesti dibayar. Itu belum masuk papan iklan, kain rentang, topi, baju-T, buluh dan kayu untuk memacak bendera dan lain-lain. Ini semua bukan percuma.

“Jentera pilihan raya mesti dilatih. Kos melatih jentera pilihan raya bukan murah. Setelah dilatih, mereka dihantar bertugas semasa kempen dan pada hari mengundi. Yang jadi ejen mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA) diberi elaun,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa elaun kepada PACA amat penting bagi memastikan integriti proses pilihan raya.

“Kalau tak diberi elaun, mereka ponteng. Siapa nak perhati proses membuang undi dan mengira undi kalau mereka ponteng? Kalau ada penipuan kerana tiada PACA di tempat mengundi, parti akan kalah,” jelasnya.

Bahkan, ujar beliau, di sesetengah tempat memerlukan kenderaan untuk mengangkut pengundi kerana tanpa pengangkutan, jumlah undi boleh terjejas.

“Van, kereta dan motosikal digunakan. Elaun pemandu mesti disediakan. Duit minyak mesti diberi. Kalau tak diberi, tak adalah kenderaan.

“Mak Senah dan Pak Maun yang menunggu di pintu rumah tak keluar mengundi sebab tak ada orang jemput. Kalau parti kalah sebab kurang dua undi, tak ke menyesal,” ujarnya.

Tambah beliau, kos-kos yang dinyatakan belum termasuk perbelanjaan untuk kajian pilihan raya, kos pengiklanan di media massa dan media sosial, kos mengendalikan bilik gerakan pilihan raya serta lain-lain kos runcit.