Logo, calon PM perlu bincang dalam Majlis Tertinggi PN - Takiyuddin

ALOR SETAR - Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) menetapkan bahawa sebarang keputusan penting termasuk penggunaan logo pilihan raya dan pelantikan calon Perdana Menteri hanya boleh dibuat melalui Majlis Tertinggi PN.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan menggunakan logo PN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang disifatkan mendahului proses tersebut.

“Dalam PN tidak ada besar kecil, tidak ada abang besar. Kita ada empat parti komponen dan semua adalah ‘equal partner’. Jadi apa juga keputusan sama ada calon Perdana Menteri atau logo, mesti diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN,” katanya ketika ditemui selepas Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Selasa.

Menurut beliau, Pas sebelum ini beberapa kali ditawarkan jawatan Pengerusi PN namun menolak kerana ketika itu Muhyiddin dilihat lebih sesuai sebagai bekas Perdana Menteri.

“Untuk rekod, Pas sudah beberapa kali ditawarkan untuk menjadi Pengerusi PN. Sekarang kita menyatakan kita bersedia untuk diberikan peranan itu.

“Jika diminta kita boleh memimpin PN. Maknanya Presiden Pas akan menjadi Pengerusi PN. Dengan usia 74 tahun, Pas adalah parti arus perdana yang memiliki 43 kerusi Parlimen serta menerajui empat kerajaan negeri,” katanya.

Takiyuddin turut menegaskan kekuatan Pas telah dibuktikan di negeri-negeri yang tidak diperintah PN, seperti Pahang dan Perak, apabila sebahagian besar kerusi PN dimenangi calon Pas.

Pada Isnin, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN belum memutuskan penggunaan logo bagi PRU16, namun berharap logo sedia ada kekal digunakan.

Setakat ini beliau mengharapkan semua parti dalam gabungan itu mengekalkan logo PN seperti digunakan sebelum ini.

Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan ulang tahun ke-75 Pas tahun depan dijangka diraikan di Pulau Pinang kerana sejarah penubuhan parti bermula di negeri itu pada 1951 dan didaftarkan secara rasmi pada 1956.

Selain itu, Muktamar Tahunan Pas pada tahun hadapan akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan.