ALOR SETAR - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan usul yang diluluskan oleh Muktamar Pas Pusat supaya calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dipilih dalam kalangan pemimpin Pas bukanlah keputusan muktamad.
Katanya, walaupun muktamar merupakan badan tertinggi dalam Pas, perkara itu masih perlu melalui perbincangan lanjut bersama kepimpinan PN sebelum sebarang persetujuan rasmi dicapai.
“Biasanya kita akan hantar notis rasmi kepada PN untuk dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi gabungan. Jadi ia bukan satu keputusan akhir, sebaliknya masih terbuka untuk dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, pada Selasa.
Mengulas mengenai spekulasi beberapa nama seperti Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan dirinya sendiri disebut berpotensi dicalonkan sebagai Perdana Menteri daripada Pas, Takiyuddin berkata, Pas tidak menetapkan mana-mana individu secara khusus.
“Semua pemimpin Pas yang mempunyai ciri tersebut boleh dipertimbangkan, sama ada daripada kalangan ulama ataupun teknokrat dan profesional. Kepimpinan dalam Pas adalah gabungan kedua-dua kelompok, bukan semata-mata ulama.
“Pendekatan kita sekarang ialah untuk berdepan PRU16 dan menang semaksimum mungkin kerusi. Tanpa kerusi dimenangi, tiada gunanya kita bercakap mengenai calon Perdana Menteri, itu pendirian Pas,” katanya.
Jelasnya, ketetapan itu sebagaimana ditekankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa calon Perdana Menteri mestilah memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan iaitu berilmu, berintegriti dan berprinsip.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa calon Perdana Menteri hanya boleh dicadangkan daripada Dewan Ulama, sebaliknya menegaskan dasar parti ditentukan secara kolektif oleh semua sayap kepimpinan.
“Tak semestinya dari Dewan Ulama sebab kita bukan pemimpin ulama tetapi kita memiliki kepimpinan ulama yang terdiri daripada pelbagai latar belakang teknokrat dan profesional,” ujarnya.
Ditanya mengenai namanya sendiri yang turut disebut-sebut sebagai calon, Takiyuddin berkata, beliau hanya melaksanakan amanah parti dan menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan kepimpinan.
“Saya hanya melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh parti,” katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, 77, secara terbuka mengakui faktor usia dan kesihatan menghalangnya daripada dipertimbang sebagai calon Perdana Menteri ke-11, namun menegaskan parti itu bersedia menerajui Malaysia jika PN menang PRU16.
Susulan pengakuan Abdul Hadi, nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, 54, semakin mendapat sorotan sebagai tokoh muda Pas yang berpotensi diangkat sebagai calon PM selain Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memandangkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, 65, turut menolak daripada dicalonkan.
Bagaimanapun, di pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, 78, telah pun diangkat sebagai poster boy dan calon PM.
Malah menurut Muhyiddin, soal siapa calon PM gabungan itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.