PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan mengingatkan Pas agar tidak mudah terkeliru dengan permainan politik pihak tertentu yang dilihat cuba meraih kepentingan peribadi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, Pas perlu mempunyai hala tuju yang jelas memandangkan parti itu sering dikelirukan oleh parti atau pemimpin yang kononnya mahu menjadi ‘hero’ dengan cuba masuk campur dalam urusan parti berkenaan.
Ramanan dipercayai merujuk kepada pendirian Pas yang dilihat sedia bekerjasama dengan mana-mana parti bukan Islam termasuk MIC.
“Jika gagal di satu pihak, mereka (MIC) berpaling ke pihak lain untuk mencari modal dan jangan sampai Pas menjadi mangsa kepada pemimpin sebegini kerana akhirnya ahli sendiri yang rugi.
“Saya ibaratkan mereka ini seperti ‘anai-anai’ yang boleh merosakkan rumah sehingga hancur,” katanya ketika ditemui selepas Program Jom@Coop di sini pada Rabu.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut mengingatkan bahawa tindakan sesetengah pemimpin politik yang gemar ‘bermain ping pong’ dengan melompat dari satu pihak ke pihak lain hanya akan menambah kekeliruan serta kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Kalau betul-betul mahu pergi ke sana (bergabung dengan pihak lain), pergilah. Jangan duduk di sini sambil buat kacau dan menyusahkan komuniti.
“Pemimpin seperti inilah yang sebenarnya menjahanamkan negara dan masyarakat,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir kenyataan Pas mengenai calon Perdana Menteri.
“Kalau benar ada empat nama yang dikatakan layak jadi Perdana Menteri, saya nak tegaskan, mereka itu belum tentu layak masuk Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
“Macam mana pula boleh angkat diri sendiri mahu jadi Perdana Menteri?
“Bila kata Perdana Menteri kena bawah umur 70 tahun, Presiden parti sendiri pun sudah melepasi umur itu, jadi di mana konsistensi mereka?” soalnya.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, Pas sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti bukan Islam seperti MIC dan MCA selagi mereka tidak bersifat ekstrem.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan dengan pihak berkenaan sudah diadakan namun masih berada di peringkat awal.