ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil masa kira-kira dua jam menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Selasa.
Ahli Parlimen Marang berusia 78 tahun itu mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding, memulakan ucapan penggulungan pada jam 2.15 petang dalam keadaan duduk.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh isu calon Perdana Menteri daripada Pas selain memberi penekanan terhadap hala tuju parti serta kepimpinan berteraskan prinsip perjuangan Islam.
Menurutnya, aspek kebersamaan dan penyatuan perlu diberi perhatian serius, termasuk usaha memperkukuh pendidikan serta penghayatan nilai Islam dalam kalangan rakyat.
Dalam masa sama, Abdul Hadi turut menitipkan peringatan dan nasihat kepada barisan kepimpinan agar kekal istiqamah selain tidak terjebak dengan permainan politik lawan yang cuba melemahkan perjuangan parti.
Meskipun muktamar dijadual berakhir pada jam 3 petang, para perwakilan kekal setia di dewan hingga selesai mendengar ucapan penuh beliau yang tamat kira-kira jam 4.12 petang.
Ucapan penggulungan di hadapan kira-kira 4,200 perwakilan yang hadir dari seluruh negara itu turut disiarkan secara langsung melalui media sosial.