SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penyebaran surat layang yang kononnya menuduh Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu menjatuhkan kepemimpinannya sebagai satu muslihat untuk memecahbelahkan parti.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, beliau tidak pernah membaca surat berkenaan, malah menolak dakwaan bahawa hubungannya dengan Hamzah bermasalah.
“Saya tak baca pun surat layang (yang dimaksudkan), tak sampai pada saya. Saya ada dengar berkaitan surat layang itu tapi saya nak jelaskan, yang penting sekarang ini saya tumpu kepada soal perpaduan yang kukuh.
“Saya tak tahu sumber mana yang dia buat berita (surat layang). Bagi saya, itu tidak beretika. Saya fikir mungkin muslihatnya adalah untuk memecah belahkan. Saya tidak ada masalah dengan Datuk Seri Hamzah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Karangkraf.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran surat layang yang berlegar di media sosial sejak beberapa hari lalu, yang mendakwa Hamzah bertindak sebagai broker yang menggerakkan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif PN sebagai usaha menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan Presiden Bersatu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mempersoalkan asas tuduhan yang dilemparkan, sambil menyatakan isu sama ada perkara itu perlu disiasat atau tidak adalah hal kedua.
“Kalau ada tuduhan-tuduhan begitu, saya nak tahu juga apa asas-asas tuduhan. Soal pokok sama ada nak siasat atau tak siasat, itu kemudian. Apa yang penting bagi saya, nak tumpukan pada parti. Parti mesti kuat, jangan berpecah belah.
“Musuh sentiasa ada di sekeliling kita, nak cari jalan bangkitkan perkara-perkara yang tidak ada ataupun entah apa sebab. Tapi pokok yang pertama, saya tak baca. Saya tak tahu apa cerita itu,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau lebih bimbang dengan musuh dari dalam atau luar parti, Muhyiddin menegaskan kedua-duanya memberi kesan yang sama terhadap kekuatan Bersatu.
“Saya tak kisah. Musuh di dalam dan luar itu sama sahaja kerana kesan dan impaknya. (Musuh) Dalam saya tak tahu. Ini orang kata ada cerita, saya tak tahu. (Musuh) Luar saya tak tahu.
“Lillahitaala, saya tak pernah baca pun apa-apa. Saya baca kenyataan orang yang baca surat layang tapi saya tak pernah baca,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan isu sensasi seperti itu hanya bertujuan untuk mengalih perhatian daripada agenda utama Bersatu, khususnya menjelang Perhimpunan Agung parti yang akan datang.
“Apa yang penting, saya nak beritahu parti akan tumpu dalam perhimpunan agung nanti ialah soal kerjasama, perpaduan. Tapi kadang-kadang cerita sensasi macam inilah, awak semua suka dengar.
“Bawa berita begini, sebar luaskan, ia berdosa. Kalau kita Islam, menyebabkan fitnah, bawa cerita surat layang, berdosa,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan perbuatan tidak beretika yang boleh menjejaskan maruah individu serta merosakkan parti.
“Sebab ALLAH kata jangan buat kerja-kerja yang tak senonoh. Buat juga kerja macam ni, saya tak ada apa. Tapi saya kata siapa yang melaksana ataupun membuat perkara-perkara seperti itu yang tak senonoh, berdosa.
“Dan tak baik bagi diri dia dan tak baik bagi parti, kalau ada,” ujarnya.