Tiada keperluan bubar Parlimen lebih awal

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jangkaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal diadakan seawal tahun depan tidak berasas bahkan dilihat sekadar untuk dijadikan modal politik.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, tiada keperluan pembubaran Parlimen lebih awal memandangkan negara kini berada pada landasan yang betul dari sudut ekonomi dan pelaksanaan dasar di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Soal pembubaran (Parlimen) adalah kuasa Perdana Menteri, pembangkang nak jangka, dia boleh jangka tapi saya lihat mungkin jangkaan itu tidak tepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, isu PRU16 mula dimainkan pembangkang kerana penggal Parlimen sudah melepasi separuh penggal.

“Sudah sampai musim nak mula spin pasal PRU16 kerana penggal Parlimen sudah melepasi dua tahun setengah.

“Tetapi kalau keadaan tidak berubah secara drastik, kemungkinan PRU16 tahun depan agak tipis,” ujarnya.

Ditanya sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bakal menjadi kayu ukur dalam menilai kesesuaian mengadakan PRU16, beliau tidak menolak perkara tersebut.

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamad, sebarang keputusan PRN Sabah kelak tidak akan menentukan corak politik negara secara keseluruhannya mengambil kira perkara yang berlaku di negeri itu lebih bersifat domestik.

“Pola pengundian PRN di Sabah juga jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung membuatkannya tidak wajar dijadikan indicator.

“Kita tidak boleh nak meramalkan apa-apa pun kerana apa yang berlaku sebelum ini, bagaimana perubahan, pembentukan kerajaan sering berubah, jadi apa yang berlaku itu tidak langsung boleh meramalkan apa yang akan berlaku di Semenanjung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kerajaan akan terus memaksimumkan penggal pemerintahan sebelum memberi laluan kepada PRU16 mengambil kira keadaan semasa yang memerlukan tumpuan terhadap pelaksanaan dasar-dasar demi kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, pembangkang dilihat cuba menimbulkan isu seolah-olah kerajaan akan terpaksa melaksanakan PRU16 sedangkan tidak timbul isu kerajaan kehilangan sokongan.