MENJELANG Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini, parti yang menjadi nadi utama Perikatan Nasional (PN) itu berdepan pelbagai spekulasi dan isu dalaman yang perlu ditangani dengan bijak.
Isu kesihatan Presiden yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dakwaan mengenai surat layang yang dikaitkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menjadi bahan perbincangan hangat.
Melihat kepada perkembangan itu, Pengerusi Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyuarakan harapan agar perhimpunan kali ini menjadi titik mula untuk merangka semula hala tuju parti khususnya dalam mendepani cabaran pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan, PAT Bersatu 2025 merupakan medan penting untuk menyusun semula strategi dan naratif parti memandangkan pilihan raya negeri Sabah dijangka berlangsung dalam masa terdekat serta kemungkinan beberapa lagi pilihan raya negeri bakal menyusul.
“PAT perlu menjadi pentas menyusun langkah untuk menzahirkan tawaran segar kepada rakyat iaitu yang benar-benar menggamit perhatian, minat dan keinginan rakyat.
“Kita tidak boleh hidup dalam kegemilangan masa lalu sebaliknya perlu mendepani masa depan dengan tawaran-tawaran yang segar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau yang juga bekas Menteri Luar menyarankan dua elemen utama sebagai pemangkin kepada tawaran baharu tersebut.
Ia melibatkan konsensus nasional politik baharu yang merangkumi pelbagai bidang dan menzahirkan keterangkuman dalam pendekatan parti terhadap isu nasional.
Pembetulan struktur ekonomi dan pertumbuhan kekayaan baharu menurutnya, menjadi satu langkah penting bagi memastikan pembangunan negara tidak hanya terhad kepada kumpulan tertentu tetapi dapat dinikmati secara adil.
“Tawaran segar ini perlu berupa langkah aksi untuk mencorak hari depan, bukannya langkah reaksi sekadar mencongak hari ini,” ujarnya.
**media[3261305]**
Antara krisis dalaman dan peluang transformasi
Isu ketidakpastian kepimpinan dalam parti politik utama mampu menimbulkan keresahan terutama bagi parti yang beraspirasi untuk kembali memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bagi Bersatu yang dianggap sebagai tulang belakang PN, kejelasan struktur kepimpinan adalah kritikal dalam membina keyakinan pengundi.
Spekulasi berterusan serta dakwaan surat layang dikaitkan Hamzah mahu mengambil alih kepimpinan parti serta siapa bakal memimpin koalisi itu mampu mengikis sokongan akar umbi serta mengurangkan daya tarikan kepada pengundi atas pagar.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berpendapat, perkembangan sebegini merupakan sebahagian daripada realiti politik demokratik yang normal.
Menurutnya, isu kesihatan pemimpin adalah perkara peribadi yang tidak seharusnya dipolitikkan secara berlebihan kerana sejarah politik Malaysia menunjukkan pemimpin yang berdepan cabaran kesihatan masih mampu berfungsi dengan berkesan.
“Spekulasi mengenai Hamzah (mengambil alih kepimpinan Bersatu) perlu dilihat dalam konteks beliau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen (iaitu) jawatan yang memerlukan kepimpinan berpengalaman.
“Tanpa pengumuman rasmi, semua ini hanyalah spekulasi yang mungkin dimanipulasi pihak tertentu untuk agenda politik mereka.
“Oleh itu adalah wajar untuk menganggap bahawa sebahagian daripada kontroversi ini mungkin diperkasakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik tertentu,” jelasnya.
Dalam landskap politik Malaysia yang kompetitif, beliau melihat usaha melemahkan parti pembangkang utama wujud, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya.
Justeru Muhammad Afifi berkata, kepimpinan Bersatu perlu bijak dalam menangani perkara berkenaan tanpa terjebak dengan permainan politik yang tidak produktif.
“Sekadar menyelesaikan isu kepimpinan dalaman khasnya dalam PN termasuk dengan Pas tidak mencukupi sekiranya parti pimpinan Muhyiddin itu benar-benar ingin merebut kembali mandat rakyat.
“Bersatu perlu menunjukkan komitmen yang lebih holistik melalui pembangunan dasar komprehensif dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan keperluan rakyat Malaysia,” jelasnya.