Pasukan khas UMNO kaji RUU PSB: Pas sedia turut serta jika dijemput

SHAH ALAM – Pas menyambut baik langkah UMNO menubuhkan Pasukan Khas bagi meneliti secara mendalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada rakyat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, inisiatif tersebut menunjukkan keterbukaan UMNO dalam memastikan sebarang dasar pembangunan bandar tidak menzalimi rakyat, khususnya golongan bawahan.

“Sehubungan itu, Pas menegaskan kesediaan untuk turut serta jika dijemput dalam apa jua perbincangan atau konvensyen yang dianjurkan, terutamanya yang melibatkan parti-parti Melayu.

“Pas yakin bahawa melalui wadah kesatuan Islam dan Melayu sahajalah kita dapat menyelamatkan negara daripada sebarang kerangka undang-undang yang berpotensi menzalimi rakyat,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan UMNO mengumumkan penubuhan Pasukan Khas bagi penambahbaikan RUU PSB.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai pasukan khas tersebut.

Menurut Ahmad Fadhli, suara kolektif umat Melayu Islam perlu diangkat secara serius dalam proses penggubalan dasar agar pembangunan bandar tidak bersifat berat sebelah atau mengabaikan keadilan sosial.

“Pembangunan mesti seimbang dan inklusif. Rakyat bawahan tidak boleh diketepikan dalam arus pembaharuan bandar.

“Pas akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat bersama mana-mana pihak yang ikhlas dalam agenda penyatuan ummah,” ujarnya.