Pemuda Pas Selangor nafi parti eksklusif, membolot agama

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor menegaskan bahawa Pas bukan parti eksklusif atau membolot agama, sebaliknya sejak sekian lama mengamalkan pendekatan politik khidmat yang merentasi bangsa dan agama.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker yang menasihatkan Pas agar mengurangkan imej eksklusif dan mula fokus kepada integriti serta penyelesaian masalah rakyat berbilang bangsa, wajar dihargai kerana lahir daripada hasrat untuk melihat negara lebih harmoni.

Bagaimanapun, ujarnya, banyak perkara yang dibangkitkan sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh Pas melalui Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) serta pelbagai inisiatif lain yang giat dijalankan di Selangor dan seluruh negara.

“Program kebajikan, bantuan bencana, khidmat guaman asas, pemeriksaan kesihatan komuniti, dan kelas tuisyen untuk anak-anak masyarakat rentan sudah dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip kami ialah politik khidmat, bukan retorik.

“Imej bersih, integriti dan rekod bebas rasuah adalah modal utama Pas. Rakyat menilai hasil, maka fokus kami ialah penyelesaian praktikal: isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, serta pendidikan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ti Lian Ker dalam satu hantaran di Facebook menegaskan bahawa Pas berpotensi menarik sokongan masyarakat Cina dan India sekiranya tampil lebih inklusif, konsisten melawan rasuah serta menonjolkan sikap bertimbang rasa.

Beliau turut menyarankan Pas menyatakan sokongan terbuka terhadap sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) serta kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, Pas menghormati hak pendidikan dan budaya masyarakat bukan Melayu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Sekolah jenis kebangsaan, rumah ibadat serta aktiviti kebudayaan diraikan dengan adab serta dalam kerangka undang-undang sedia ada.

"Sikap kami jelas: memperkukuh Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, memperkasa bahasa lain sebagai kekuatan bangsa, serta memastikan pendidikan dan budaya semua kaum dihormati,” ujarnya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Pas hanya hadir ketika musim pilihan raya, dengan menjelaskan bahawa Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan Pemuda Pas Selangor secara konsisten menyertai aktiviti kebudayaan, forum masyarakat majmuk, ziarah rumah ibadat, gotong-royong kejiranan dan pelbagai program kebajikan rentas kaum.

“Kami mengalu-alukan pandangan Datuk Seri Ti Lian Ker dan menjemput beliau serta mana-mana pihak yang prihatin untuk duduk semeja bersama Pemuda Pas Selangor. Prinsip kami mudah: tak kenal maka tak cinta.

"Dialog terbuka adalah jalan terbaik untuk menghapuskan salah faham dan memperkukuh kerjasama demi rakyat,” ujarnya lagi.

Mohamed Sukri menegaskan bahawa Pemuda Pas Selangor kekal istiqamah mengangkat politik berintegriti, politik penyelesaian dan politik perpaduan, kerana hanya dengan cara itu Malaysia akan makmur apabila semua rakyat merasai keadilan serta kebajikan dalam tindakan, bukan sekadar slogan.