Saman cabar keabsahan PM bukti PN tiada majoriti - Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR - Saman mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri disifatkan sebagai bukti bahawa Perikatan Nasional (PN) serta pembangkang tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, kegagalan pembangkang mendapatkan sokongan majoriti mendorong mereka menyokong pemfailan saman tersebut.

Menurutnya, kenyataan dibuat Rafique Rashid dari Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan P Ramasamy dari Parti Urimai Malaysia (Urimai) yang menganggap saman itu sah kerana melalui proses mahkamah hanyalah alasan remeh.

“Jangan lupa istilah salah guna proses mahkamah (abuse of the process of court) kerana saman itu difailkan selepas tiga tahun pilihan raya umum berlalu.

“Usia kerajaan Madani yang dibentuk melalui pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri juga sudah tiga tahun, tetapi masih diungkit kesahihannya.

“Prinsip undang-undang jelas bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab itu tindakan saman ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, tindakan pembangkang itu turut memperlihatkan kegagalan mereka berperanan sebagai blok yang matang dan konstruktif.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, PH mampu menyediakan belanjawan bayangan serta melontarkan pelbagai idea dan formula penyelesaian isu ekonomi dan rakyat. Malangnya, PN gagal berbuat demikian.

“Ketika kerajaan sedang membentangkan RMK13, PN sibuk menunggang isu keabsahan Perdana Menteri. Ia satu tindakan regresif dan ibarat sebuah tin kosong,” tambahnya.