Isu rakyat Sabah kini ‘lima serangkai’ - Ronald Kiandee

PUTATAN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa isu yang membelenggu rakyat negeri itu kini tidak lagi sekadar ‘tiga serangkai’ melibatkan masalah air, jalan raya dan elektrik, sebaliknya sudah melebar menjadi ‘lima serangkai’ termasuk isu rasuah dan tanah berkaitan lesen cari gali mineral.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, sepanjang lima tahun pemerintahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), masalah asas rakyat masih gagal ditangani dengan baik.

“Cuba nilai balik lima tahun kerajaan ini. Apa yang mereka buat tentang masalah air, elektrik dan jalan raya? Kamu puas hati dengan apa yang mereka lakukan?

“Kalau tidak puas hati, apa perlu kita buat menjelang pilihan raya ini,” soalnya ketika berucap pada majlis Ceramah Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat di Royal Plaza Putatan, malam Sabtu.

Ronald menegaskan, isu air khususnya semakin parah apabila rakyat terus berdepan gangguan bekalan walaupun pelbagai janji telah dibuat.

“Di bandar raya pun tiada air, apatah lagi kawasan lain. Putatan ini sebelah sahaja dengan Kota Kinabalu, malah lapangan terbang pun ada masalah air.

“Menteri kata loji rawatan air siap tahun 2026, tapi bagaimana keadaan rakyat dari sekarang sampai ke tahun itu,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu projek tenaga boleh baharu yang didakwa tidak telus, termasuk majlis pecah tanah projek solar di Tawau baru-baru ini.

“Mereka kata projek solar seluas 18 ekar, tapi bila saya semak, tanah pun belum selesai pindah milik. Jadi pecah tanah itu hanya gimik politik,” katanya.

Menurut Ronald, kegagalan menyelesaikan isu asas membuktikan kelemahan kerajaan dalam pengurusan jangka pendek, sekali gus menyebabkan rakyat menanggung beban setiap hari.

“Kalau manusia ada penyakit ‘tiga serangkai’ boleh membawa maut, begitulah kerajaan ini dengan penyakit air, elektrik dan jalan raya. Sekarang ditambah lagi dengan rasuah serta isu tanah berkaitan lesen cari gali mineral, menjadikan ia penyakit ‘lima serangkai’.

“Air, elektrik, jalan tidak selesai tetapi mereka berjaya melahirkan pelakon-pelakon video pendek. Tidak pernah ada kerajaan begini. Dia fikir kita tidak nampak begitu, wakil rakyat dia ada video-video pengakuan. Tidak pernah dalam hidup saya berlaku begini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ronald menegaskan rakyat Sabah perlu menilai semula prestasi kerajaan GRS dan membuat keputusan bijak pada pilihan raya negeri akan datang.

“Bukan soal setia pada parti mana, tapi kita lihat siapa yang benar-benar mampu selesaikan masalah rakyat. Sebab itu orang Sabah kerap tukar kerajaan, kerana kita tahu menilai politik,” katanya.