PRN Sabah: BN dijangka dominasi kerusi luar bandar, PH fokus bandar

PONTIAN - Barisan Nasional (BN) Sabah dijangka mendominasi kerusi luar bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang susulan persiapan rapi dan agihan kerusi yang telah dimuktamadkan bersama Pakatan Harapan (PH).

Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengagihan tanpa sebarang pertindihan kerusi menunjukkan gabungan PH-BN berada di landasan tepat dan bersedia menghadapi PRN Sabah.

"Berapa kerusi itu saya tidak boleh umumkan di sini, tetapi ia sudah dimuktamadkan.

"Kebiasaannya, kerusi bandar diberikan kepada PH sama ada DAP atau PKR, manakala BN lebih tertumpu kepada kerusi luar bandar.

"Saya berharap kita boleh menang semua kerusi yang ditandingi, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 180 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta di Dewan Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan persiapan UMNO menghadapi PRN Sabah kali ini lebih awal berbanding PRN Sabah pada tahun 2020.

"Persiapan kali ini lebih sistematik dan tersusun hasil penglibatan pimpinan di peringkat negeri dan pusat.

"Pengerusi UMNO negeri juga telah pergi ke Sabah untuk merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di sana yang menjadi kawasan angkat mereka.

"Kali ini, saya sudah pergi ke 20 bahagian di Sabah. Tinggal baki lima bahagian sahaja lagi iaitu Kimanis, Tenom, Kinabatangan, Libaran dan Penampang yang akan saya kunjungi dalam masa terdekat," jelasnya.

Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pengagihan kerusi antara BN dan PH menjelang PRN Sabah telah dimuktamadkan tanpa sebarang pertindihan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan tiada sebarang rundingan dilakukan antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan pembahagian kerusi atau kerjasama bagi menghadapi PRN itu sebagai menghormati PH.