Jangan campur aduk perundangan dan politik - Ahmad Zahid

PASIR SALAK - Sebarang isu melibatkan pemimpin parti perlu ditangani dengan bijaksana tanpa mencampur adukkan antara tindakan perundangan dan keputusan politik, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jika sesuatu perkara jelas melanggar undang-undang, maka tindakan sewajarnya mesti diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala soal politik pula harus diselesaikan menerusi saluran parti.

"Saya memikirkan ada garis pemisah dan pertemuan yang boleh kita lakukan. Saya berpandangan, tindakan perundangan mesti dilakukan jika ia melanggar undang-undang tetapi tindakan politik harus dibuat melalui langkah politik.

"Kita tidak mahu kerana ada satu peristiwa, keputusan politik dibuat sehingga menggoyahkan kesatuan dalam 18 parti yang membentuk Kerajaan Madani," katanya dalam sidang akhbar sempena program Santunan Desa Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Besar Felcra Changkat Lada, Seberang Perak di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang yang meminta kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan tindakannya mengadakan protes isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik yang didakwa bersifat provokasi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kepimpinan parti telah membuat keputusan dan semua pihak perlu mematuhinya bagi menjaga keharmonian dalam kerajaan.

"Kita telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi. Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi," tegasnya.

Pemuda DAP Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas Dr Muhamad Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas yang dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.

Dr Muhamad Akmal pula sebelum ini menegaskan, tindakan terhadap dirinya tidak boleh dipisahkan daripada UMNO kerana beliau bertindak atas kapasiti Ketua Pemuda parti tersebut.

Kenyataan berani tersebut dilihat sebagai isyarat bahawa sebarang tindakan terhadap dirinya akan memberi implikasi kepada hubungan politik antara DAP dan UMNO secara keseluruhan, khususnya dalam konteks kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.