Kes Zara Qairina, ugutan Rafizi cabaran buat Anwar - Hassan Karim

PASIR GUDANG – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan insiden kematian pelajar Zara Qairina Mahathir dan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai cabaran besar buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, sekiranya kes-kes berkenaan tidak ditangani segera, dibimbangi akan wujud persepsi seolah-olah terdapat 'tangan ghaib' yang berperanan di negara ini.

“Kita tidak salahkan menteri sekarang kerana mereka masih baharu. Perkara seperti kes buli dan ugutan ini sudah berpuluh tahun berlaku, namun cara menanganinya perlu diperbaiki.

“Pertama, jangan cuba sembunyikan masalah. Hadapi dan bertindak, walaupun ada pihak yang marah. Kita perlu tegas serta dedahkan segala perkara yang berlaku.

“Saya mendesak siasatan telus. Tidak boleh biarkan mana-mana individu, termasuk ahli Parlimen dan keluarganya diancam,” katanya selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Bendahara pada Ahad.

Hassan menegaskan, Malaysia bukan negara mafia dan mempunyai undang-undang yang harus dikuatkuasakan tanpa kompromi.

“Pendirian Perdana Menteri dalam menangani masalah ini adalah betul, namun pihak berkuasa perlu bertindak pantas dan tidak hanya menunggu arahan.

“Ahli politik, NGO dan orang ramai boleh bersuara mendesak tindakan tetapi pihak berkuasa yang menjaga keamanan tidak boleh tunggu PM bercakap baharu mahu bergerak. Ikutlah SOP sedia ada.

“Kita tidak mahu kes seperti ini senyap begitu sahaja. Kita tuntut kepakaran polis untuk menangani kejadian ini,” jelasnya.

Hassan berkata, kelewatan bertindak hanya akan menimbulkan persepsi buruk bahawa ada campur tangan pihak tertentu.

Beliau menambah, rakyat tidak seharusnya berasa tidak selamat di kawasan sekolah walaupun kes Zara Qairina dianggap terpencil.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ugutan terhadap Rafizi memperlihatkan perkembangan politik negara seakan mundur ke belakang apabila kaedah sebegitu digunakan untuk menutup suara lantang ahli politik.

“Ahli Parlimen akan rasa tidak selamat apabila bercakap. Perlu hati-hati kerana bimbang diugut. Saya dukacita dengan perkembangan ini.

“Ugutan terhadap Rafizi bukan sahaja menjadikan politik Malaysia mundur, malah insiden-insiden sebegini turut merosakkan imej negara, bukan sahaja di mata rakyat, tetapi juga masyarakat antarabangsa,” katanya.