KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat meskipun berdepan kekangan peruntukan yang ketara berbanding wakil rakyat kerajaan.
Menurutnya, walaupun menghadiri 100 peratus sidang Parlimen dan sesi Jawatankuasa Parlimen, peruntukan yang diterima untuk kawasan Muar hanya RM200,000 setakat ini berbanding RM20 juta yang disediakan kepada Ahli Parlimen kerajaan sepenggal.
"RM200,000 itu pun selepas lebih 500 hari rundingan dengan syarat yang ketat. Tidak boleh digunakan untuk bantuan kebajikan rakyat, baik pulih infrastruktur mahupun sebarang bentuk sumbangan.
"Ia hanya boleh digunakan untuk operasi pejabat termasuk sewa, gaji kakitangan, peralatan dan pengurusan. Semuanya akan diaudit penuh dan saya setuju sepenuhnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambahnya, kekangan tersebut tidak melemahkan semangatnya sebaliknya mendorong beliau mencari jalan baharu dalam membantu penduduk Muar.
Syed Saddiq menegaskan akan terus bekerja keras dan berinovasi untuk mengumpul dana demi memastikan bantuan serta pembangunan di kawasan Parlimennya tidak terjejas walaupun peruntukan rasmi amat terhad.
"Enam bulan yang lalu sahaja, melalui pelbagai inisiatif baharu saya berjaya menyumbangkan lebih RM2 juta untuk kebajikan Muar hasil usaha saya sendiri.
"Alhamdulillah, saya akan teruskan usaha ini. Satu pintu ditutup, sepuluh lagi dibuka," ujarnya.