SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memberi tumpuan kepada membentangkan cadangan alternatif kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan bukan sibuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, sebagai sebuah gabungan dianggotai bekas Perdana Menteri dan beberapa bekas menteri kanan, PN seharusnya telah lama membentuk kabinet bayangan serta membentangkan alternatif kepada Belanjawan 2023, 2024 dan 2025.
“Langkah ini penting bagi menjelaskan pendirian dasar mereka dan menunjukkan keupayaan sebenar dalam aspek tadbir urus.
"Namun malangnya, mereka lebih berminat membangkitkan sentimen rakyat daripada menjawab cabaran sebenar dihadapi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara, pembangkang tetap bertanggungjawab menjadi entiti kukuh dan boleh diyakini rakyat.
Katanya, tanggungjawab tersebut termasuk menghentikan mainan politik berasaskan isu 3R (kaum, agama dan raja) serta meletakkan kepentingan negara mengatasi keuntungan politik sempit.
“Jika benar (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat memimpin blok pembangkang secara serius, saya gesa beliau segera mengumumkan senarai kabinet bayangan PN, nyatakan dasar yang diperjuangkan dan bentangkan cadangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen.
“Cadangan itu perlu merangkumi penyelesaian konkrit terhadap isu-isu utama seperti ekonomi negara, inflasi global, pendidikan, kesihatan dan pekerjaan,” tegasnya.
Menurut Kar Hing, tindakan PN ketika ini seolah-olah mencerminkan ketagihan kepada kuasa serta kealpaan terhadap ketidaktentuan dan kekacauan yang pernah dialami rakyat susulan pertukaran kerajaan yang tidak menentu sebelum ini.
“Dalam suasana geopolitik antarabangsa yang penuh ketidaktentuan, negara memerlukan perpaduan serta pendekatan yang pragmatik.
"PN harus ketepikan nafsu kuasa, utamakan rakyat dan fokus kepada pembangunan sebenar serta tidak terus mengapi-apikan ketegangan dalam masyarakat,” katanya.