SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru kepimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di semua peringkat agar kekal bersatu dan tidak melihat sesama anggota sebagai musuh politik.
Menurut beliau, kekuatan parti terletak pada perpaduan dalaman, terutamanya dalam menghadapi cabaran semasa dan meneruskan agenda membela rakyat.
“Kepimpinan parti perlu kekal bersatu. Jangan sesekali melihat sesama anggota sebagai musuh.
“Perbezaan pandangan harus ditangani dengan hikmah demi matlamat yang sama iaitu memperjuangkan agenda rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pada Ahad, telah diadakan Seminar Pemantapan Organisasi dan Jelajah PKR di Klana Resort yang turut dihadiri oleh Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memberikan pencerahan mengenai dasar parti serta isu-isu semasa.
Aminuddin berkata, Anwar dalam amanatnya menekankan bahawa perjuangan PKR harus kekal berpaksikan rakyat, dan segala usaha di peringkat negeri mahupun Persekutuan perlu digembleng untuk menangani tekanan kos sara hidup serta mencari penyelesaian yang berkesan.
“Akar umbi adalah nadi perjuangan, maka penting untuk mereka difahamkan secara jelas tentang pendirian dan dasar parti agar PKR terus menjadi wadah yang mendengar, memahami dan menyelesaikan permasalahan rakyat.
“Kini masanya untuk memperhebat gerak kerja, memperkukuh keanggotaan parti dan menyemarakkan semangat perjuangan demi masa depan rakyat dan negara. Bersama kita terus melangkah, demi Malaysia yang lebih adil dan sejahtera,” katanya.