IPOH – Pas Perak bersiap sedia memobilisasikan jentera dan pengangkutan dari segenap pelosok negeri bagi memastikan penyertaan yang padu dalam Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Ketua Penerangan Pas Perak, Khalil Yahaya berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu isyarat muktamad kemarahan rakyat terhadap kegagalan berterusan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
"Cukuplah sandiwara, lebih dua tahun kita disajikan dengan janji-janji kosong yang hanya indah di bibir, namun hakikatnya rakyat terus dihimpit.
"Ekonomi negara merudum, kos sara hidup melambung tinggi tanpa kawalan, subsidi ditarik tanpa belas kasihan dan tarif elektrik terus menjerut leher rakyat marhaen.
"Inikah 'reformasi' yang dijanjikan? Inikah 'kerajaan stabil' yang dicanangkan? Jawapannya jelas: mereka telah gagal secara total," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah itu berkata, hanya suara rakyat di jalanan yang mampu menggerakkan tindak balas daripada pihak berkuasa.
"Institusi kehakiman negara telah digugat apabila keputusan penting dilihat bercanggah dengan prinsip keadilan dan melibatkan tokoh-tokoh tertentu, mencetuskan keraguan serius dalam kalangan awam. Isyarat jelas telah diberikan termasuk melalui himpunan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam.
"Namun, kita saksikan tindakan responsif hanya diambil pada kemuncaknya apabila Ketua Hakim Negara dilantik dengan kebijaksanaan Majlis Raja-Raja setelah tekanan rakyat semakin memuncak," katanya.
Pada masa sama, beliau membidas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang seolah-olah cuba memandang enteng penderitaan rakyat dengan mendakwa himpunan itu sekadar membuang masa.
"Kononnya perhimpunan hanya akan mencetuskan kekacauan dan menjejaskan keyakinan pelabur, malah berdolak-dalik mengenai punca sebenar himpunan serta tidak mengakui isu-isu rakyat seperti kenaikan gaji atau bantuan kepada golongan miskin sebagai puncanya.
"Mungkin beliau selesa dengan status quo. Adalah amat ironik apabila pihak yang seharusnya membela rakyat kini sibuk melabel perjuangan ini sebagai cubaan memudaratkan negara.
"Bukankah lebih baik beliau fokus menangani isu ekonomi dan ketidakstabilan politik yang jelas dicipta oleh kerajaan beliau sendiri berbanding menuduh rakyat yang bangkit menuntut hak?" katanya.
Jelas Khalil, kenyataan tersebut membuktikan bahawa pimpinan kerajaan benar-benar terputus hubungan dengan realiti hidup rakyat dan lebih gusar akan kedudukan kuasa mereka.
"Jika benar kerajaan ini kuat dan stabil seperti yang diuar-uarkan, mengapa perlu takut dengan suara rakyat di jalanan?
"Pas Perak mengajak setiap individu yang merasa terbeban, setiap ibu bapa yang risau akan masa depan anak-anak, setiap pekerja yang gajinya tidak mampu menampung hidup dan setiap warganegara yang mencintai Malaysia untuk turun beramai-ramai," katanya.
Pada 12 Julai lalu, menerusi sidang akhbar, Pas menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam penganjuran himpunan tersebut.