KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Kesediaan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya tidak dicalonkan semula oleh parti.
“Saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri baru-baru ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan saya yakin akan dicalonkan semula untuk DUN Petagas.
“Banyak juga komen dan kerisauan rakyat yang bertanya kerana ada pihak berkepentingan di DUN Petagas yang menyatakan mereka akan bertanding sama ada mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), ada yang kata dari Pakatan Harapan (PH) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Bagi saya, ini perkembangan sihat yang menunjukkan DUN Petagas terbuka kepada sesiapa yang berminat. Tapi soal siapa calon dan dari parti mana, bagi saya sudah jelas. Saya tidak pernah menyatakan akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri perlawanan akhir bola sepak terbuka amatur DUN Tanjung Aru di Sembulan pada malam Ahad.
Mengulas lanjut, beliau turut ditanya sama ada akan bertanding di DUN Tanjung Aru, memandangkan beliau juga merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di kawasan itu.
Namun, Awang Ahmad Sah menegaskan bahawa segala keputusan berkaitan penentuan kerusi terletak di tangan Presiden parti merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Sebagai ahli parti, saya akan akur dengan keputusan Presiden. Kita menjadi ahli parti kerana percaya kepada kepimpinan yang boleh membawa perubahan dan membangunkan politik Sabah serta menjaga hak kita sebagai wilayah yang setaraf dengan Semenanjung.
“Kita di Sabah perlu bersatu, jangan lemah atau berpecah. Kita mesti kuat untuk membuat keputusan yang baik demi kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, tumpuannya kini adalah menggerakkan jentera pilihan raya untuk memastikan kemenangan di tiga kerusi iaitu DUN Petagas, Tanjung Keramat dan Tanjung Aru agar dapat menyumbang kepada kejayaan GRS.
“Saya tidak risau kerana saya telah banyak kali berjumpa Ketua Menteri dan perbincangan kami sangat positif. Namun, jika keputusan lain dibuat, saya tetap akur.
“Yang penting dalam politik ialah meletakkan calon yang boleh mengangkat perjuangan kerajaan dan rakyat,” ujarnya.
Awang Ahmad Sah turut berkongsi pengalaman politiknya di DUN Tanjung Aru termasuk pernah bertanding dua kali di kawasan itu pada tahun 2004 dan 2008.
“Pada 2004, saya bertanding di peringkat DUN dan Parlimen. Walaupun undi tidak banyak, saya tidak hilang deposit. Pada 2008, undi saya hampir dua kali ganda, sekitar 3,500 undi, walaupun ketika itu saya tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan kurang mendapat undi di Pulau Gaya.
“Tapi Gagasan Rakyat adalah parti yang aktif di lapangan, menjalankan program dan memberi bantuan tanpa mengira bangsa atau agama. Saya yakin jika parti meletakkan calon di Tanjung Aru peluang untuk menang sangat cerah, insya-ALLAH,” katanya.