Rafizi sangkal dakwaan Isham 'lari' awal sebab takut PRU16

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menolak dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil yang mendakwa beliau ‘lari awal’ kerana takut untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, beliau tidak gentar untuk bertanding dalam PRU16 kerana setiap kali bertanding, beliau memperoleh kemenangan besar.

“Rafizi takut bertanding PRU, itu kata Isham Jalil. Dia ini memang sakit hati dengan saya. Kerjanya buat kandungan hentam saya. Ejek nama saya dan macam-macam lagi.

“Saya tak ambil hati sebab kalau saya jadi dia pun, memang saya berbulu dengan Rafizi ini.

"Bayangkan kalau kita jadi Isham Jalil. Masa sekolah kalah pertandingan debat dengan dia. Lepas itu, dia kecoh satu negara pasal skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sampai saya hilang kerusi empuk saya sebagai pegawai khas Perdana Menteri,” katanya menerusi sebuah video di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, media melaporkan Isham mendakwa Rafizi ‘lari awal’ bagi mengelak bertanding pada PRU16 kerana takut berdepan kekalahan.

Rafizi turut membayangkan dirinya berada di tempat Isham serta menyentuh kekalahan Isham di kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU15, walaupun ketika itu UMNO dilihat yakin selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Dah la tak jadi pegawai khas Perdana Menteri, kena tendang dari grup WhatsApp pula lepas itu. Punyalah bengang sampai nak saman sebab kena tendang dari grup WhatsApp.

“Kemudian nak bertanding kerusi Parlimen, si Rafizi ini buat hal lagi.

"Susah payah nak dapat kerusi Parlimen dari UMNO, mula dah yakin boleh menang sebab Pakatan Harapan (PH) kalah teruk dalam PRN Melaka dan Johor.

“Tak pasal-pasal PH bernafas balik, kalah teruk Isham di Shah Alam," katanya.

Rafizi juga secara sinikal mendakwa Isham sebagai ‘hati tisu’.

"Jadi saya fahamlah kalau dia jaki dengan saya tapi janganlah sampai buat lawak kata saya takut bertanding PRU16.

"Sebab setiap kali saya bertanding, saya menang besar. Saya bukan jenis hati tisu, kena tendang grup WhatsApp pun sampai nak saman,” ujarnya.