Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat meninggal dunia

KUALA LANGAT - Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Langat, Rozana Kamarulzaman, 56, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit Diabetes pada pukul 1.47 pagi di Hospital Banting hari ini.

Menurut anak sulungnya, Muhammad Yusri Shah Iwan Shahrom Shah, 29, ibunya dimasukkan ke wad pada Sabtu lalu akibat jangkitan kuman pada bahagian kaki.

"Ibu ditidurkan pada hari Sabtu sampai hari ini, berpunca daripada sakit kencing manis dan jangkitan pada luka kaki.

"Kemudian berlaku jangkitan pada paru-paru dan buah pinggang. Bahagian otak kiri dikesan berlaku angin ahmar hingga akhirnya ibu meninggal dunia hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kawasan perkuburan Kampung Serdang Belah, Banting Baru di sini hari ini.

Muhammad Yusri berkata, Rozana adalah seorang ibu dan pemimpin yang tegas dan arwah mempunyai pendiriannya sendiri dalam sesuatu perkara.

"Ibu juga mempunyai impian dan cita-citanya sendiri. Ibu akan memastikan impiannya tercapai.

"Sebagai seorang pemimpin ibu akan menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda. Dia mempunyai keazaman yang kuat untuk mencapai cita-citanya walaupun dalam kesakitan,"ujarnya.

Rozana meninggalkan dua lagi anak lelaki Muhammad Muadzam Shah, 26, dan Muhammad Muzaffar Shah,23, serta suami, Iwan Shahrom Shah Mohd Naim,57.