SHAH ALAM - Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian tidak dapat menyokong gesaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan kemelut badan kehakiman.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara berkenaan selaras dengan kenyataan Pengerusi gabungan parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan suruhanjaya tersebut ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri di samping memerlukan keputusan kabinet yang dipengerusikan beliau sendiri.
“Saya mengesahkan sebahagian Ahli-Ahli Parlimen PN telah menerima sepucuk surat bertarikh 9 Julai 2025 daripada Rafizi yang bertajuk Sokongan Terhadap Tuntutan Menegakkan Integriti Kehakiman Negara.
“Ini termasuklah soal peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan kuasa eksklusif Perdana Menteri dalam soal pelantikan hakim-hakim di mahkamah tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Baru-baru ini Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR termasuk dirinya telah menghantar surat rasmi kepada semua ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkenaan.
Jelasnya, langkah itu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa.
Takiyuddin bagaimanapun berkata, Ahli Parlimen PN mempunyai pandangan berbeza atas alasan ia bukanlah suatu mekanisme mencukupi dan berkesan memandangkan masih berada di bawah kawalan serta budi bicara penuh Perdana Menteri yang bertindak memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Justeru Ahli Parlimen PN tidak dapat menyatakan sokongan kepada cadangan dan gesaan Rafizi dalam hal tersebut.
“Bagaimanapun kami akan menilai apa-apa perkara berkaitan yang mungkin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang Parlimen yang bermula 21 Julai ini,” jelasnya.